04 Januari 2012

Pelajar Malaysia maut kemalangan di New Jersey

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Malaysia terbunuh dan empat yang lain cedera dalam kemalangan sebuah kereta di New Jersey, demikian menurut akhbar The Republic, yang berpejabat di Columbus, Indiana, Amerika Syarikat.

Laporan itu mengesahkan bahawa pelajar yang terbunuh dalam kemalangan kelmarin di laluan Interstate 78 itu, menuntut di Ohio State University, tetapi namanya belum disiarkan.

Pelajar kedua berada dalam keadaan kritikal dan tiga yang lain dilaporkan dalam keadaan stabil. Kesemua mereka berusia antara 19 dan 21 tahun.

Laporan itu menyatakan kemalangan itu berlaku pada kira-kira 4 petang (waktu tempatan) apabila Chevrolet Equinox terbabas keluar jalan dan melanggar pokok dan tiang lampu.

Polis berkata pemandu keletihan.

Sementara itu, Wisma Putra ketika dihubungi berkata pihaknya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat untuk mendapatkan butir-butir lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: