18 November 2009

1,166 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Daerah Kerian

IPOH: Keadaan banjir di Perak tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa yang dipindahkan di daerah Kerian meningkat kepada 1,166 orang pagi ini berbanding 545 orang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata kesemua mangsa baru itu dipindahkan sejak tengah malam semalam hingga 8 pagi ini dan ditempatkan di enam buah sekolah dan sebuah surau yang dijadikan pusat pemindahan.

"Mangsa terbabit dipindahkan dari 11 kampung iaitu Kampung Changkat Lobak, Kampung Selekoh, Kampung Beriah, Kampung Simpang Empat, Kampung Simpang Lima, Kampung Matang Tengah, Kampung Sungai Semambu, Kampung Matang Pasir, Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian dan Kampung Yau Shin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, hujan lebat yang berterusan sejak enam hari lalu serta limpahan dari empangan Bukit Merah menyebabkan kawasan terbabit terus ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter.

Katanya, Jalan Bagan Serai ke Selama di Km 10 hingga 17 masih ditutup kepada semua lalu lintas.

Sementara itu, di Selama kesemua 72 mangsa dari dua buah kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam. BERNAMA

mStarOnline/-

Tiada ulasan: