20 Ogos 2010

AirAsia catat untung pra-cukai tinggi

9 Ramadhan 1431 H

Untung pra-cukai AirAsia Bhd meningkat 4.38 peratus kepada RM144.213 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2010, daripada RM138.161 juta suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan meningkat 25.76 peratus kepada RM940.656 juta daripada RM747.996 juta sebelumnya, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Pertumbuhan pendapatan disokong oleh 11 peratus pertumbuhan dalam jumlah penumpang dan tambang purata yang lapan peratus lebih tinggi pada RM173 berbanding RM160 yang dicapai pada suku kedua tahun lepas," kata syarikat tambang rendah itu.

Untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, AirAsia melaporkan untung pracukai yang tinggi iaitu RM400.400 juta berbanding RM262.279 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatannya melonjak kepada RM1.819 bilion daripada RM1.545 bilion sebelumnya.

AirAsia berkata tunai syarikat daripada operasi ialah RM188 juta, penurunan sebanyak RM108 juta berbanding suku sebelumnya yang berakhir 31 Mac 2010.

Mengulas mengenai prospek, AirAsia berkata berdasarkan kepada trend tempahan ke hadapan semasa, asas permintaan penumpang dalam suku ketiga dan keempat untuk operasi-operasi Malaysia, Thai dan Indonesia kekal positif.

Syarikat penerbangan itu berkata faktor muatan yang dicapai pada Julai seiring dengan tahun sebelum sementara terdapatnya penambahbaikan yang signifikan untuk perolehan.

"Jika tiada sebarang halangan, para pengarah kekal positif dengan prospek kumpulan untuk separuh kedua 2010," katanya.

AirAsia berkata ia akan menerima penghantaran enam pesawat A320 dalam suku ketiga tahun ini, dua akan beroperasi di Malaysia dan empat di Thailand.

Dalam suku keempat, empat pesawat A320 akan dihantar, satu akan beroperasi di Malaysia dan tiga di Indonesia, katanya.

Pesawat baru itu akan digunakan untuk mengganti B737 dan menyediakan kapasiti tambahan ke seluruh rangkaian.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

AIRasia untung..untung..untung..cerdik sungguh pentadbiran airasia.
MAS..rugi...rugi...rugi..."Bangang sungguh pentadbiran MAS..