20 Ogos 2010

Kain rentang: Anwar minta polis siasat segera, teliti

9 Ramadhan 1431 H

PETALING JAYA, 18 Ogos: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu kain rentang provokatif yang didakwa menggunakan foto Sultan Johor yang ditimbulkan pemimpin Umno adalah bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.

Beliau pada sidang media selepas kenyataannya dirakam tiga anggota polis pagi tadi berkata, tindakan itu juga seolah-olah mahu mengheret Sultan Johor ke kancah politik.

"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui Meng sebagai Menteri Besar Johor.

"Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi PKR dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.

"Tidak pernah menjadi amalan kita. Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," katanya.

Chua yang merupakan Pengerusi PKR Johor pula berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan PKR adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.

"Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal.

"Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.

"Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Chua.

Pengarah Strategik PKR, Tian Chua pula mendakwa, tindakan provokasi itu hanya untuk mewujudkan ketegangan dan perselisihan kaum.

Melihat cara kain rentang itu ditulis pula, beliau tidak menolak kemungkinan ianya dibuat secara tergesa-gesa sehingga gelaran pada nama Datuk Chua Jui Meng juga salah.

Chua katanya, hanya bergelar Datuk bukan Dato' Seri seperti tertera di kain rentang tersebut.

"Walau siapa pun yang menbuat kaian rentang itu, motifnya sangat jelas iaitu mahu mewujudkan ketegangan kaum.

"Kerja menyiapkan kain rentang seperti tergesa-gesa sehingga gelaran Chu Jui Meng pun salah," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, ketua PKR Johor, bendahari PKR William Leong.

Terdahulu tiga anggota polis dari ibu pejabat polis daerah Batu Pahat, Johor hadir ke ibu pejabat PKR di Tropicana bagi menyoal-siasat Anwar berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini beberapa kain rentang muncul di Johor memaparkan gambar Anwar, Chua dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan tulisan 'PKR Johor menyokong penuh Dato' Seri Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Johor dan Calon MB Johor".

Pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya tampil menempelak tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik.

PKR sebelum ini telah manfikan bertanggungjawab terhadap kain rentang tersebut dan telah membuat laporan polis.

Chua juga sebelum ini mendakwa mendapat maklumat bahawa tindakan provokasi menggunakan kain rentang itu didalangi bekas Menteri Besar Umno Johor.

Harakahdaily/-

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

inilah perangai orang umno, baling batu sembunyi tangan, sejak dulu kini dan selamanya

Tanpa Nama berkata...

Dah lupa ke kita dgn kain rentang "...Natang" kat terengganu dulu? tak kemana pun org2 yang bersubahat buat, gantung... lepas macam tu saja. Kalau org UMNO buat, ada kes ~ jd takde kes. tp kalau org PKR buat hu kecoh dunia ni kn cari siapa dalangnya. Arahan dari tuhan BN, yang memberi rezeki, hakim2, ketua2 polis semua takut..

Tanpa Nama berkata...

rilex la...jgn belum apa2 dah tuduh bekas mb johor pula...biasa la kena panggil bagi keterangan untuk polis buat siasatan..klu xde panggil sape2 mana nak buat siasatan...sabar2 ler...

Tanpa Nama berkata...

Buat laporan polis ...siasat punya siasat..Anuar Ibrahim juga yang kena..akan didakwa kerana terlibat dalam mengarah untuk menyediakan kain rentang***Itu lah standard kat Malaysia...
CSL pertikaikan pasal keistimewaan orang melayu..tup..tup...Lim Guan Eng dan sapa sapa lagi ahli PR kena tangkap..pasal isu perkauman..itulah standad Malaysia...