20 Ogos 2010

Kelantan tukar batik kepada baju kebangsaan

9 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 18 Ogos: Kelantan sekali lagi mencetus kelainan sempena Ramadan tahun ini apabila menggantikan baju batik kepada pakaian kebangsaan yang perlu dipakai pada setiap hari Khamis.

Kebiasaannya sebelum ini pada hari Khamis kakitangan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun mengenakan baju batik bagi kakitangan lelaki.

Namun 9 Ramadan ini atau 19 Ogos (esok) kakitangan lelaki diarah memakai baju kebangsaan.

Baju kebangsaan dimaksudkan mempunyai lima butang dan (lengkap dengan songkok serta samping) dipakai setiap Khamis sepanjang bulan Ramadan.

Pekeliling mengenai arahan terbaru itu ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Shafie Ismail bertarikh 12 Ogos 2010.

Pekeliling yang diedar tersebut bertajuk ’Arahan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Kelantan Bil 2 /2010’.

Pekeliling terbabit dituju kepada semua ketua jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

Difahamkan keputusan pemakaian baju kebangsaan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) 11 Ogos lalu.

Difahamkan juga pemakaian baju kebangsaan akan dipraktik secara tetap pada setiap bulan Ramadan.

Sementara itu beberapa kakitangan kerajaan di Kota Darulnaim ketika ditemui menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha menghidupkan kembali identiti bangsa Melayu.

”Kalau sebelum ini kita hanya tengok orang pakai baju kebangsaan pada Hari Raya dan jarang-jarang pada hari Jumaat, namun langkah terbaru dibuat kerajaan negeri memakai pada hari bekerja sesuatu yang dialu-alukan,” katanya yang enggan dikenali.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: