20 Ogos 2010

Selangor lancar kempen anti-zina 30 Ogos

9 Ramadhan 1431 H

Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor (GeMS) akan melancarkan kempen anti-zina sebagai satu daripada usaha untuk membendung kes buang bayi.

Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor, Halimah Ali, berkata kempen itu akan dilancarkan sempena program untuk menangani gejala sosial pada 30 Ogos ini di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam yang dijangka dihadiri 3,000 belia.

"Program ini juga sempena sambutan kemerdekaan negara dan akan dimulakan dengan Solat Isyak dan Tarawih berjemaah selain beberapa aktiviti kesenian dan persembahan artis jemputan," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan mengingatkan remaja supaya tidak lalai dan terjebak dalam gejala sosial termasuk sehingga terlanjur melakukan zina dan membuang bayi.

Halimah berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia dan pihak sekolah juga akan terbabit secara langsung dalam menangani isu gejala sosial itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari, berkata lapan penternak lembu di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarah berpindah ke ladang ternakan baru di Sungai Nilam, Hulu Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengatasi masalah ternakan yang berkeliaran serta ditempatkan di lokasi yang tidak sesuai seperti berhampiran kediaman, kolej dan di bawah jambatan.

"Kerajaan negeri memperuntukan tanah seluas 32.4 hektar di Sungai Nilam dengan kemudahan infrastruktur lengkap bagi menampung kira-kira 500 ekor lembu milik kumpulan penternak itu. Penternak hanya perlu membina kandang di kawasan tanah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihak PBT terbabit akan mengeluarkan notis kepada penternak berkenaan dalam masa terdekat ini.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: