10 November 2011

Bajet segera naik taraf jalan utama Pasir Puteh

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan BN didesak supaya lebih bertanggungjawab dengan mengeluarkan bajet segera bagi menyelesaikan masalah jalan utama di Pasir Puteh antara sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong.

Desakan tersebut dibuat terutama bagi menaik taraf jalan utama jajahan Pasir Puteh antara sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong hingga sempadan Pasir Puteh-Bachok di Kampung Jerus.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husin berkata, keadaan jalan utama di Pasir Puteh kini agak menyedihkan dan amat perlu dinaik taraf dengan segera bagi kepentingan orang ramai.

Menurut beliau, tambahan pula jalan tersebut agak berbeza berbanding jalan bersempadanan dengan Besut di Terengganu.

Katanya, disebabkan keadaan jalan yang tidak memuaskan, laluan utama di Pasir Puteh itu sering berlaku kesesakan sehingga menyebabkan banyak terjadi kemalangan setiap tahun yang turut melibatkan kematian.

"Sepanjang jalan itu juga terdapat 20 jambatan kecil yang sudah lama tidak dibaiki dan sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Perkara itu, menurut beliau, amat perlu diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan, lebih-lebih lagi setelah dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Dalam soalan lisan yang dikemukakan semalam, beliau bertanya kepada Menteri Kerja Raya sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf jalan berkenaan.

Menjawab pertanyaan itu, pihak Kementerian Kerja Raya menjelaskan, Kerajaan Persekutuan akan memberikan keutamaan tinggi bagi membina dan menaik taraf rangkaian jalan raya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Ini termasuk Jalan Persekutuan dari Pasir Puteh (Kampung Jerus) ke sempadan Kelantan-Terengganu (Bukit Yong) yang merupakan sebahagian daripada Jalan Persekutuan FT003 dari Kota Bharu ke Pasir Puteh dan berakhir di Kuala Terengganu sepanjang 169 kilometer.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Persekutuan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam setiap Rancangan 5 Tahun Kerajaan berikutan kos projek yang sangat tinggi.

Hasil kajian awal pihak kementerian didapati jalan tersebut sememangnya sering mengalami kesesakan akibat peningkatan jumlah kenderaan khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Banci lalu lintas pada tahun 2010 telah mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 19,240 setiap hari dan jalan tersebut diklasifikasikan sebagai Level of Sevice (LOS) E iaitu jalan sesak ketika waktu puncak.

Sehubungan itu, cadangan projek itu telah dikenal pasti antara projek berkeutamaan tinggi dan pihak kementerian akan berusaha berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan dalam RMK10.

Menurut Muhammad, projek tersebut sememangnya amat perlu disegerakan memandangkan kawasan Pasir Puteh kini sedang mengalami perkembangan pesat.

"Oleh itu, di kawasan itu tentunya memerlukan jalan raya yang lebar dan sempurna bagi menampung keperluan pengguna," ujar beliau.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: