10 November 2011

Veteran PAS Raub maut kemalangan

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

RAUB, 10 Nov: Aktivis veteran PAS Raub, Wak Korman Markom, 78, dari Cawangan Pamah Kulat, kembali ke rahmatullah pagi ini setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Baharuddin Amiruddin, allahyarham meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori balak yang berhenti di Batu 3, dekat sini kira-kira jam 6.45 pagi.

“Saya difahamkan beliau dari kampungnya Pamah Kulat untuk ke bandar bagi mendapatkan tiket bas ekspres pukul 7 pagi ini untuk ke Kuala Lumpur.

“Sampai di Batu 3 iaitu berhampiran kawasan kilang papan, motorsikal allahyarham terlanggar lori balak yang berhenti di tepi jalan,” katanya yang menghubungi Harakahdaily.

Tambah Baharuddin, Allahyarham Wak Korman meninggal serta merta di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Raub.

Katanya lagi, Wak Korman yang mewakafkan tanahnya untuk pembinaan Kompleks PAS Raub di Kampung Tanah Bercangkul di sini, meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Dong tengah hari ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: