10 November 2011

Banjir: 456 pusat pemindahan di seluruh Kedah disediakan

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 10 Nov. – Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah (MTPNK) telah membuat persiapan teratur dan lengkap termasuk menyediakan 456 buah pusat pemindahan di seluruh negeri untuk menghadapi banjir.

Pengerusi MTPNK, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, semua pusat pemindahan itu boleh memuatkan sehingga 80,000 orang dalam satu masa.

Beliau berkata, di setiap pusat pemindahan itu turut disediakan empat hingga lima buah katil untuk warga emas dan mangsa yang uzur atau sakit.

Katanya, jumlah pusat pemindahan akan ditambah sekiranya bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat agar mereka berada dalam keadaan selesa.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Persiapan Banjir Kedah di sini semalam, beliau berkata, pusat pemindahan paling banyak disediakan di daerah Kota Setar iaitu 78 buah. – Bernama

Tiada ulasan: