10 November 2011

Pemerintahan Assad akan berakhir: AS

13 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

AMMAN: Pengunduran Presiden Bashar al-Assad tidak "dapat dielakkan", kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat ketika askar Syria dilaporkan menembak mati lapan penunjuk perasaan pro-demokrasi dan mencederakan 25 yang lain pada majlis pengebumian di Damsyik.

Insiden itu antara yang terburuk di ibu negara Syria sejak kebangkitan tujuh bulan lalu terhadap Asad yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berundur walaupun angka kematian, sekatan Barat dan ketegangan di antara puak minoriti Alawite beliau dan majoriti penduduk Sunnah meningkat.

Pihak berkuasa Syria yang menyalahkan “pengganas" dan militan Islam terhadap pertumpahan darah itu, bersetuju dengan pelan Liga Arab pada 2 November lalu dan berikrar akan menarik balik askar dari bandaraya yang bergolak, membebaskan tahanan politik dan memulakan rundingan dengan pembangkang.

“Hampir semua pemimpin, menteri luar Arab yang saya temui menyatakan perkara sama: 'Pemerintahan Assad akan berakhir. Ia tidak boleh dielakkan.'," kata Pembantu Setiausaha Negara AS, State Jeffrey Feltman, kepada panel Senat.

Feltman berkata, beberapa negara Arab itu mula menawarkan Assad perlindungan untuk menggalakkan beliau segera meninggalkan Syria.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan negara yang dimaksudkan itu.

Katanya, beliau berharap Assad dan penasihatnya akan "memilih jalan keluar secara sukarela". - Reuters

Tiada ulasan: