22 Disember 2011

Bagaimana haji anda kalau tak boleh sabar

26 Muharram 1433H. [MOD] -

Ahmad Baei Jaafar
Semasa kursus haji, bakal jemaah haji diingatkan tentang kesusahan yang bakal mereka hadapi di tanah haram. Kesusahan itu perlukan kesabaran. Kalau jemaah haji tidak boleh sabar janganlah impikan haji mabrur. Ingatan yang sama turut diberikan oleh pembimbing haji di tanah haram sebaik saja mereka sampai di tanah suci Makkah.

Benar, apabila saya sampai di sana, banyak ujian dan semua itu perlukan kesabaran. Sesekali saya berfikir bolehkah aku menjadi penyabar. Ya kadang-kadang perkara yang menyebabkan kita tidak boleh sabar itu amat tidak munasabah. Barangkali itulah yang menyebabkan ramai yang gagal memperoleh haji mabrur.

Bagaimana dengan haji anda? Bolehkah anda menangani ujian sabar sepanjang mengerjakan haji? Ya, ujian ini bermula sejak mereka berniat ihram dan haji. Malah ujian ini meliputi semua orang, baik mereka yang telah pernah mengerjakan haji mahupun orang yang baru pertama kali mengerjakan haji.

Sebaik sampai di Jeddah, ada jemaah haji yang marah pegawai Tabung Haji kerana lambat urus untuk berangkat ke Makkah. Yalah sampai 10.00 pagi waktu Saudi, tapi bertolak ke Makkah jam 1.00 lebih. Mujurlah disediakan makan tengah hari semasa berada dalam bas.

Sebelum itu jemaah diberitahu akan bertolak jam 11.45 pagi namun oleh sebab bas lambat sampai, kami diminta solat Zohor kat lapangan terbang. Di sini zohor masuk awal iaitu pada jam 12.10. Oleh sebab tempat solatnya sempit maka solat terpaksa dilakukan bergilir-gilir. Ini semua mendorong kepada sifat marah. Walau bagaimanapun tekanan marah di sini tidaklah begitu kuat. Mungkin baru bermula.

Sungguhpun begitu kesabaran jemaah haji ini boleh dikawal apabila dijelaskan oleh petugas Tabung Haji bahawa urusan pengangkutan di Makkah dan Madinah termasuk urusan haji dijalankan oleh pihak muassasah. Tabung Haji hanya mengendalikan jemaah haji termasuk kesihatan mereka sahaja.

Dalam Hotel

Setelah berada di hotel suasana agak berubah. Setelah mendapat rakan baru yang pelbagai kerenah, kesabaran mereka sekali lagi teruji. Di sini ada yang tidak serasi dengan rakan baru lalu mahu berpindah tempat. Bagaimana tidak, ada yang menghisap rokok dan tidak tahu untuk menghormati rakannya yang tidak merokok. Mereka yang mampu bersabar disimpankan kemarahan itu di dalam hati.

Soal makan tidak masalah kerana makan tengah hari dan malam dihantar terus ke bilik masing-masing. Pada peringkat awal semua jemaah makan dalam bilik masing-masing namun setelah seminggu berada di Makkah, mereka mula rasa jemu dengan makanan yang disediakan. Hal ini kerana menunya sama saja, kalau tidak ayam, ikan atau sotong. Keadaan ini menyebabkan ada jemaah haji yang tidak ada selera hendak makan.

Sekali lagi mereka diuji kesabaran. Ada jemaah haji yang marahkan Tabung Haji kerana tidak mahu menyediakan tukang masak Melayu untuk jemaah Malaysia. Yalah masakan itu walaupun nasi biasa tetapi lauk pauk yang disediakan tidak pula ala Melayu dan tidak juga ala Arab. Beruntunglah mereka yang boleh sabar, makan sahaja apa yang ada, dan kalau tidak mahu makan, biarkan nasi itu dimakan orang lain.

Dalam keadaan itu ada jemaah yang bertindak untuk kembalikan selera makan dengan memilih untuk makan dengan isteri di ruang legar hotel. Dan ada juga yang membeli makanan lain di restoran luar semasa balik dari Masjidilharam. Usaha mereka ini setidak-tidaknya dapat mengawal sifat marah lalu sabar boleh dipertahankan.

Nampaknya dalam bab makan ini sebahagian besarnya boleh bersabar. Hanya sebahagian kecil tidak dapat mengawal kemarahan mereka lalu ada yang sanggup menulis notis komplen kepada pihak Tabung Haji.

Manasik

8 Zulhijjah semua jemaah haji diminta bersiap sedia untuk berangkat ke Arafah. Masing-masing diingatkan supaya mandi sunat ihram dan memakai ihram sebelum menaiki bas selepas zohor. Alhamdulillah, semua dapat mematuhinya. Tetapi apabila sampai masa yang dijanjikan untuk bergerak ke Arafah, bas lambat sampai. Di sini sekali lagi kesabaran mereka diuji.

“Kata pukul 2.00 petang, ini dah 3.00 lebih dan nak Asar bila nak pergi?” kata sebahagian yang masih belum bertolak.

Ada yang sampai sebelum Maghrib tetapi ada juga yang sampai selepas jam 11 malam. Walaupun Makkah dengan Arafah tidak berapa jauh namun kerana jalan jem, perjalanan menjadi tidak begitu lancar. Bagi mereka yang menyedari sedang berihram, kepayahan itu dianggap biasa bahkan mampu bersabar.

Di Arafah sekali lagi mereka diuji, kali ini mereka terpaksa beratur untuk ke tandas. Tandas sementara ini dibuat khas untuk haji sahaja. Oleh sebab jemaah haji ramai maka penggunaan tandas perlu dimanfaatkan secara berhemah. Itulah yang selalu dipesan sebelum sampai di Arafah. Tetapi inilah yang kadang-kadang susah dijangka, terdapat jemaah yang tidak mengindahkan arahan dan nasihat pembimbing Tabung Haji, “jangan mandi pada waktu puncak.”

Bayangkan apabila mereka mandi waktu hendak solat, tentulah mengganggu orang yang hendak buang air besar atau kecil. Ini juga mengundang kemarahan mereka yang tidak mampu sabar. Pada pagi hari 9 Zulhijjah, jemaah bersiap awal untuk solat Zohor. Kalau hendak mandilah awal-awal. Nanti selepas makan tengah hari bolehlah mereka ke surau atau berada di khemah masing-masing kalau surau yang ada tidak muat.

Alhamdulillah sebaik sahaja masuk waktu Zohor, khutbah Arafah disampai terlebih dahulu sebelum solat. Dan selepas solat Zohor di sinikan dengan zikir dan doa masing-masing. Inilah waktu yang paling sesuai untuk mereka melakukan ibadah sebanyak mungkin. Waktunya hanya sehingga terbenam matahari. Jemaah haji tidak digalakkan berbual kosong apatah lagi bermujadalah. Tetapi berapa ramai yang boleh melakukan ibadah sepanjang itu. Mungkin mereka yang tidak sabar mengambil peluang keluar khemah bertemu kawan dan berbual dengan mereka.

Selepas Maghrib jemaah diminta bersedia untuk ke Muzdalifah. Bas pertama, kedua dan ketiga sedia membawa jemaah ke Muzdalifah. Tetapi giliran selepasnya agak lambat tibanya. Akhir kami diberitahu bahawa ada kemalangan lalu bas tidak boleh bergerak. Soal pemandu memberi alasan untuk berehat atau tidak, tidak dapat dipastikan, tak elok nak tuduh mereka.

Oleh sebab bertolak lambat dari Arafah, kami sampai di Muzdalifah jam 12.30 pagi. Takpalah namapun bermalam. Dapatlah cari batu untuk lontaran ke Jamrah. Dapatlah 70 ketul lebih. Setelah dibasuh batu itu, basrulah kami boleh merebahkan diri di atas tanah dan batu. Mujur ada hamparan palastik yang diberikan oleh Tabung Haji.

Bolehlah lelap seketika, tetapi tidak selesa kerana takut bas datang jam 2 atau 3 pagi.

Rupa-rupanya Jam 4.30 pagi bas masih belum datang, dan sementara menunggu itu kami bersiap mengambil wuduk untuk solat Subuh yang masuk jam 5.20 pagi. Tapi selepas solat Subuh, bas tidak datang lagi. Sekali lagi jemaah haji diuji. “Mana orang Tabung Haji, kalau cakap bas tak datang awal-awal, bolehlah kami berjalan kaki ke Mina,” bersungut mereka.

Di sini, orang yang tidak pernah marah selama ini, mula mengangkat suara. Isytaghfirullah al-azim. Yalah setelah siang dan panas, masih terpaksa menunggu bas. Hampir 10 pagi baru bas datang. Jadi, dapatlah kami bergerak ke Mina walaupun lambat. Namun di belakang kami masih ada lagi yang perlu tunggu bas. Bolehkah mereka bersabar?

Di Mina kami terpaksan tinggal dalam khemah selama empat hari. Ujian tentu lebih banyak sebab empat hari sangat lama. Tempat tandas terhad, maka setiap hari berebut giliran, nak mandi, buang air besar dan buang air kecil. Ada yang tidak sabar, bertindak ketok pintu tandas kerana padanya sudah lama duduk di dalamnya. Malah ada yang terpaksa buat air kencing dalam botol kerana tidak mampu tunggu lama.

Nak pergi melontar masalah yang lain pula, tempatnya jauh juga. Maka pada hari 10 zulhijjah kami melakukan lontaran selepas solat Isyak. Di sini ada beberapa orang yang lambat keluar, mereka yang tidak sabar terus bersungut. Ditambahkan pula juru pandu yang mewakili muassasah lambat bergerak. Dan dalam perjalanan pula, sebahagian terputus hubungan lataran ramai jemaah lain yang mengambil peluang pada malam itu. Keadaan ini juga mengundang rasa marah.

Walau pun selepas 10 zulhijjah semua jemaah telah bebas daripada 10 larangan haji, tetapi mereka masih dituntut bersabar dan tidak bertekak dalam sesuatu hal yang remeh. Tetapi sesetengah jemaah sesudah rasa bebas kerana sudah membuka kain ihram, segala rimau yang ada dalam dirinya mula keluar. Mereka lupa bahawa haji mereka masih belum selesai.

Agak-agaknya berapa peratus yang tidak marah dan boleh bersabar. Kalau itulah nilaian Allah sudah tentu ramai yang gagal mendapat haji mabrur. Oleh sebab itu marilah kita berdoa agar Allah terima haji yang dilakukan itu.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tulisan 100% betul