22 Disember 2011

Pekerja kontrak mati ditembak

26 Muharram 1433H. [MOD] -

GOMBAK - Seorang pekerja kontrak maut terkena 10 das tembakan, manakala adik ipar perempuannya cedera parah dalam serangan bertubi-tubi oleh lima lelaki bertopi keledar di kawasan parkir Blok A, Apartment Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika pekerja kontrak yang maut, S Murgeso, 46, berada dalam Toyota Vios warna hitam yang diletakkan di kawasan terbabit, manakala adik iparnya, S Krishnarni, 40, sedang memasuki kenderaan yang sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, kedua-dua mangsa terbabit ditembak oleh lima lelaki memakai topi keledar yang menaiki kereta pacuan empat roda Mitsubishi Storm warna hitam dan Proton Waja berwarna emas.

Menurutnya, kelima-lima lelaki itu dipercayai melepaskan sebanyak 11 das tembakan menggunakan peluru bersaiz 9 milimeter (mm) ke arah kedua-dua mangsa, sebelum melarikan diri bersama dua kereta mereka.

“Siasatan menunjukkan terdapat 10 kesan tembakan di tubuh badan mangsa yang maut, termasuk satu di dahi dan dua di bahagian dada.

“Adik ipar mangsa cedera terkena tembakan di bahagian rusuk kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Rosly berkata, siasatan awal menunjukkan motif adalah disebabkan dendam kerana kelima-lima lelaki terbabit sudah bersiap sedia menunggu berdekatan kereta mangsa sebelum menembaknya.

Katanya, usaha memburu kelima-lima individu yang terlibat dalam kejadian sedang giat dilancarkan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: