22 Disember 2011

Konvensyen Pakatan Rakyat Januari, fokus PRU13

26 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 22 Dis— Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan konvensyen kebangsaan bulan depan iaitu yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

Konvensyen itu yang diadual diadakan di Kedah pada 14 Januari, akan memfokus persiapan menghadapi pilihan raya umum dan melancarkan hubungan gerak kerja KEADILAN, Pas dan Dap.

Konvensyen-konvensyen sebelum ini masing-masing diadakan di Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat.

“Kami merancang untuk memfokus pendekatan terperinci dalam mencapai visi dan tawaran kami bagi rakyat Malaysia.

“Pelannya ialah memperhalusi pelbagai rancangan kami bagi Malaysia, jika diberi peluang untuk menerajui peringkat pusat,” kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Pakatan Rakyat akan memastikan manifesto atau rancangan masa depan disusun ke arah menarik pengundi-pengundi muda.

“Kami ada pelbagai dokumen sehingga kini – dari Buku Jingga, pelan 100 hari, Agenda Ekonomi Rakyat Malaysia dan kejayaan-kejayaan kerajaan negeri dipimpin PR,” kata Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PR akan menjelaskan kepada pengundi bahawa mereka mempunyai penyelesaian dalam mengatasi ketirisan dan rasuah sekiranya menerajui Putrajaya.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan BN melalui prestasi paling buruk dengan kehilangan lima negeri dan 82 kerusi Parlimen, sekali gus dinafikan majoriti dua pertiga di dewan rakyat.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: