19 Januari 2012

NFC: PKR cadang enam skop audit, siasatan telus

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: PKR mencadangkan enam skop utama audit bagi memastikan siasatan terhadap penyelewengan wang rakyat dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) benar-benar telus dan menepati kehendak rakyat, kata pengarah strateginya, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mengumumkan kerajaan akan melantik firma perunding perakaunan bagi mengaudit dan menyiasat skandal NFC dalam tempoh sebulan bagi ‘melindungi kepentingan kerajaan’.

Skop itu kata Rafizi termasuk menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan bagi memastikan tiada campur tangan politik semasa projek itu diluluskan.

Katanya, semua minit mesyuarat juga perlu disemak bagi menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai samada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan;

“Kedua, menyiasat proses pemberian dana NFC oleh Kementerian Kewangan bagi menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

“Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tiada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi turut menegaskan, skop audit itu wajar menyiasat setiap perbelanjaan NFC termasuk memastikan setiap perbelanjaan adalah berpatutan,diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu.

“Keempat, menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tiada unsur penyelewengan.

“Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC,” tegasnya.

Siasat keluarga Shahrizat

Skop audit kelima ialah menyiasat setiap pembelian aset keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga kini, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan samada dana NFC diguna bagi tujuan peribadi.

Manakala skop audit terakhir ialah menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.

“Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC dan menguji samada Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan,” tegasnya.

“Salah satu terma lantikan juga mestilah mewajibkan juruaudit membentang keputusan siasatan dan kesimpulan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat, Mac ini,” tegasnya.

Jika kerajaan enggan menerimapakai keenam-enam skop itu katanya, bermakna pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bermain politik berhubung skandal siasatan NFC.

“Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan YB Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS, bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) wajar ditubuh bagi membongkar segala penyelewengan yang berlaku dalam NFC,” katanya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: