19 Januari 2012

Isu zakat MAIWP timbul prejudis umat Islam

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerah satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantah penggunaan dana zakat sebanyak RM63,650.00.

Ketuanya, Nasrudin Hassan yang mengetuai Pemuda PAS bagi penyerahan memorandum tersebut menjelaskan DPPM melihat isu penggunaan wang zakat sebagai pendahuluan kos guaman merupakan satu penyelewengan terhadap dana zakat.

"Timbul persoalan bagaimana wang zakat boleh disalurkan kepada pihak yang tidak layak menerimanya.

"Isu ini boleh mengakibatkan timbulnya prejudis umat Islam bahawa wang zakat tidak digunakan kepada saluran yang sewajarnya dan boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkepentingan," jelasnya.

Tambahnya lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pihak MAIWP berkali-kali menafikan penggunaan wang zakat sebaliknya hanya menyatakan menggunakan wang dari peruntukan kerajaan.

"Jamil Khir dan MAIWP menafikan wang tersebut dari wang zakat walaupun terdapat bukti yang mengesahkan ia benar-benar dari sumber zakat.

"Lihat kepada Laporan Ketua Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Negara yang mengesahkannya dan juga terdapat baucer bayaran bernombor 2010B04112 yang bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 dikeluarkan," sambungnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu DPPM juga mempersoalkan mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang merujuk kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan The bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam.

"DPPM ingin bertanya bagaimana boleh diklasifikasi penggunaan kos guaman itu sebagai mempertahankan kedaulatan Islam sedangkan kes sebenar adalah melibatkan kes qazaf oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi kes tersebut dinafikan di Mahkamah Syariah dan dibicarakan di Mahkamah Sivil, adakah itu dianggap sebagai mempertahankan kedaulatan Islam," katanya lagi.

Nasruddin tegaskan pihaknya memohon agar MAIWP tampil memberi penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia serta memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau nyatakan DPPM menegaskan bahawa isu penggunaan wang zakat bagi tujuan kos guaman adalah suatu isu kesalahan dan merupakan penyelewengan yang besar di sisi rakyat.

"Kita tidak akan bersekongkol dengan kemungkaran yang berlaku dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantah tindakan ini bagi kepentingan agama Islam dan umat Islam di negara ini," katanya lagi.

Sebelum itu, memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ismail Porjo di Pejabat MAIWP.

Turut hadir bersama Nasrudin adalah Pengarah Jawatankuasa Isu Zakat, Kamaruzaman Mohamad yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan juga beberapa anggota exco DPPM yang lain.

Harakah Daily

Tiada ulasan: