19 Januari 2012

Rasuah Taib Mahmud: Antarabangsa desak tapi SPRM membisu

25 Safar 1433H. [MOD] -

SARAWAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Krian, Ali anak Biju mempersoalkan sikap membisu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal rasuah melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, pihak berkuasa masih gagal mengumumkan status siasatan ke atas Taib, meskipun kes itu menerima desakan di peringkat antarabangsa dan sekaligus menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

“Ini sangat pelik, kalau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa pun mahu kes ini disiasat, mengapa SPRM Malaysia masih membisu,” soalnya.

Menurutnya, kes rasuah melibatkan Taib dan keluarganya bukan sahaja berkaitan soal perundangan tetapi turut merangkumi kepentingan rakyat miskin di seluruh Sarawak.

“Kita tidak kisah Taib kaya tapi yang kita persoalkan ialah sumber kewangan itu dari mana, adakah kerana penyelewengan dan berunsur rasuah?

“Ini isu penting yang perlu disiasat dan kita berharap siasatan dijalankan segera kerana kekayaan Taib sangat luar biasa sekaligus menimbulkan persoalan,” tegasnya.

Awal bulan lalu, BMF dan 16 NGO lain menulis sepucuk surat mendedahkan kepentingan keluarga Taib dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing di 25 negara yang dianggar berbilion ringgit.

BMF dan NGO terbabit menggesa Malaysia menahan Taib dan ahli keluargnya kerana melakukan salahguna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

Surat 10 muka itu ditandatangani 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Pada masa yang sama, polis antarabangsa Interpol, menyatakan siasatan mengenai jenayah membabitkan Taib hanya boleh dilakukan pihak berkuasa Malaysia.

Sebelum ini, banyak laporan SPRM telah dibuat terhadap Taib dan keluarganya. Namun sehingga kini SPRM masih gagal mendedahkan status siasatan berkenaan.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: