19 Januari 2012

NFC: PKR mahu tahu terma rujukan audit

25 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan enam skop utama audit yang memberi kuasa sepenuhnya kepada juruaudit untuk menyiasat sepenuhnya isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) ekoran keputusan kerajaan melantik juruperunding.

Sehubungan itu, PKR juga mengesyorkan supaya terma pelantikan dan skop audit diumumkan kepada rakyat apabila lantikan dibuat.

"Salah satu terma lantikan mestilah mewajibkan juruaudit membentangkan keputusan siasatan dan kesimpulan yang dibuat dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang dalam bulan Mac ini," kata Pengarah Strategi Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC.

"Ia bakal menguji sama ada (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat penyelewengan yang berlaku apabila beliau mengumumkan perlantikan firma juruaudit semalam," kata beliau lagi.

Semalam, kerajaan berhasrat untuk melantik sebuah firma perunding perakaunan untuk menjalankan satu penelitian wajar dan audit projek NFC.

Muhyiddin berkata, bagi melindungi kepentingan kerajaan, firma perunding itu akan membuat penelitian dan audit projek dari segi penggunaan dana pinjaman, pengurusan dan kewangan projek tersebut.

"Tugasan ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan," katanya.

Sabtu lepas, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah mengatasi isu yang melanda NFC ini dalam masa terdekat.

Isu NFC timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan perbadanan itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Di bawah enam skop yang dicadangkan itu, Rafizi mahu panel audit menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri.

"Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan," katanya lagi.

Selain itu, kata beliau, pihaknya mahu panel audit menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian

Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik.

Syor-syor lain ialah:

- menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat dengan matlamat penubuhan NFC

- menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan

- menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat

Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi

- menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Shahrizat untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC.

Kata Rafizi, sekiranya kerajaan enggan menerima pakai keenam-enam skop itu, ia bermakna pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak serius mencari penyelesaian kepada skandal NFC yang berlarutan.

"Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan Lim Kit Siang dan pendirian kepimpinan PAS bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam NFC," katanya lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: