19 Januari 2012

Khalid lantik dua pegawai khas baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 19 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) telah melantik dua Pegawai Khas bagi membantu beliau dalam menjalankan portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang baru diambil alih semalam.

Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd V. Ganabatirau dipilih untuk memegang jawatan tersebut yang bertanggungjawab memastikan penyelarasan kerja-kerja pembaikan jalan dan parit yang dikelola Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjalan lancar.

"Pelantikan mereka berkuatkuasa serta merta dan Menteri Besar berharap kedua-duanya akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada rakyat Selangor," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat MB hari ini.

Semalam Khalid membuat rombakan kecil kepada exconya berikutan perlantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat dari PAS.

Melalui rombakan itu, Khalid mengambil alih portfolio yang dipegang Hasan sebelum ini iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dr Yunus yang merupakan Pembantu Exco kepada Khalid sebelum ini diberikan portfolio yang dipegang beliau iaitu Belia dan Sukan di samping mengambil portfolio Hasan iaitu Adat Melayu.

ISU SAMPAH

Sementara itu, talian bebas tol (1-800-88-282) yang dibentuk kerajaan negeri untuk memantau isu kutipan sampah di negeri ini berjalan dengan baik.

Talian yang bermula dua hari lepas, 17 Januari itu mendapat sambutan baik dari orang ramai yang ingin mengadu masalah kutipan sampah di kawasan mereka.

"Kita pastikan, tindakan terhadap aduan itu dibuat dalam masa 48 jam," kata Arfa'eza Aziz, Setiausaha Akhbar MB Selangor kepada Harakahdaily.

Kerajaan negeri Selangor juga sudah mengeluarkan tender terbuka untuk melantik kontraktor bagi membuat kutipan sampah ini.

Ia dibuat ekoran pemberhentian syarikat Alam Flora dari menjadi kontraktor tunggal pengutipan sampah di Selangor.

Di samping itu, kata Arfa, setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah membuat skuad khas untuk memastikan kutipan sampah di seluruh negeri ini berjalan lancar.

"Di Shah Alam, Datuk Bandar turun sendiri (untuk memantau)," beritahu Arfa.

Harakah Daily

Tiada ulasan: