19 Januari 2012

Geng semut curi gula tumpas

25 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itu perumpamaan yang layak diberikan kepada enam pekerja sebuah kilang gula di Batu 3 di sini apabila sanggup menyamun bekalan itu di tempat kerja sendiri untuk mendapatkan wang tunai segera.

Geng semut yang dipercayai melarikan 23 tan metrik gula itu akhirnya tumpas apabila dicekup polis di tempat kerja mereka sehari selepas kejadian disedari pengurusan kilang.

Kerugian akibat kehilangan itu dikatakan mencecah hampir RM58,000 dan kegiatan membawa keluar bekalan dipercayai dilakukan pada waktu awal pagi ketika hanya pengawal keselamatan berkawal di gudang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil syarikat berhubung kehilangan stok gula di dalam gudang simpanan itu pagi Ahad lalu.

Menurutnya, hasil maklumat diberikan, anggota kemudian menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

“Tiada kesan pecah masuk ke gudang menyebabkan kami percaya kes didalangi orang dalam yang bekerja di gudang itu. Dalam tempoh sehari selepas kes diadu, enam suspek diberkas di kilang terbabit.

“Lima adalah pengawal keselamatan yang sepatutnya mengawal kilang manakala seorang lagi adalah pemandu. Keenam-enam mereka berusia antara 24 hingga 41 tahun dan sudah bekerja antara tiga bulan hingga lapan tahun di kilang berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Yahaya berkata, hasil soal siasat ke atas suspek ditahan membawa polis ke sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Teluk Panglima Garang, Banting.

“Penjaga gudang diberkas dan kami berjaya menemui semula 60 guni gula seberat 3 tan metrik yang disembunyikan di dalam gudang. Baki selebihnya dipercayai sudah dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua ditahan termasuk salah seorang yang mempunyai enam kes lampau berkaitan dadah dan curi akan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: