10 Februari 2012

Tumpang di surau

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Sebuah keluarga enam beranak sudah hampir seminggu menumpang teduh di surau selepas diarahkan keluar oleh pemilik rumah apabila gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah di Flet Tasek Seri Alam, di sini.

Normaliza Mustafa, 33, berkata, hasratnya ingin merubah nasib keluarga dengan berhijrah ke Johor Bahru dari Bentong, Pahang masih belum tercapai apabila suami gagal mendapatkan pekerjaan tetap kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Menurutnya, suaminya dibela keluarga angkat tanpa pengenalan diri sehingga berdepan pelbagai masalah termasuk kesukaran mencari rezeki di negara sendiri.

“Kami baru dua tahun ke sini dengan harapan dapat merubah hidup kami anak-beranak, tetapi nampaknya nasib masih belum menyebelahi kami apabila suami sering dibuang kerja selepas gagal menyerahkan salinan kad pengenalan.

“Pada mulanya kami membawa diri ke taman rekreasi, tetapi anak-anak yang masih kecil merengek hendak tidur sehingga kami terpaksa ke surau berhampiran untuk menumpang bermalam,” katanya ketika ditemui media di Surau Beringin Taman Rinting, di sini, semalam.

Menurutnya, tiga anaknya sudah hampir seminggu tidak bersekolah selepas berdepan masalah kewangan sehingga kehilangan tempat berteduh.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat permudahkan urusan suami saya mendapatkan kad pengenalan.

Agency

Tiada ulasan: