10 Februari 2012

Elak tonton filem tidak ditapis

17 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan meningkatkan program pendidikan pencegahan bagi membantu mengurangkan gejala keruntuhan moral kesan daripada menonton filem yang tidak ditapis.

Pembantu Penguat Kuasa, Wan Haslina Wan Husin berkata, menonton filem sedemikian boleh mendorong kepada perlakuan sumbang mahram, rogol, cabul, hubungan seksual dan pelbagai jenayah lain.

Katanya, masyarakat diberi pendedahan mengenai bahaya menonton filem tidak ditapis dan maklumat tepat mengenai Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

“Beberapa program dirangka bagi mencapai matlamat tersebut seperti Hari Pendidikan Pencegahan, Program Sekolah Angkat, Komuniti Bestari, Titian Qaseh, Sentuhan Hati Karyawan, Qaseh Belia dan banyak lagi,” katanya.

Rakan Bestari katanya, diwujudkan bagi membolehkan pegawai penguat kuasa bekerjasama dengan masyarakat untuk menyampaikan maklumat mengenai aktiviti yang melanggar Akta Penapisan Filem 2002.

“Rakan Bestari lebih dekat dengan masyarakat dan mereka boleh memberi penerangan mengenai akta sekali gus membendung aktiviti penjualan filem-filem lucah atau tidak mempunyai sijil Perakuan B.

“Mereka juga boleh menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang melanggar akta tersebut, memberikan input dalam memperkemaskan Garis Panduan Penapisan Filem,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pejabat Sinar Harian Kelantan, di Pengkalan Chepa, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Nor.
Lawatan ke Pejabat Sinar Harian Kelantan itu katanya, merupakan salah satu aktiviti bagi memupuk kerjasama pihaknya dengan media dalam usaha menggalakkan orang ramai menonton filem yang ditapis.

Wan Haslina berkata, pihaknya boleh bertindak terhadap bahan publisiti filem seperti gambar, fotograf, poster, rajah, surat sebaran, iklan surat khabar dan apa saja bentuk iklan lain yang asal atau pendua.

“Tafsiran Seksyen 3 akta tersebut juga menyebut filem atau sinematografi, pita video, disket, cakera padat, cakera keras dan rekod lain sama ada asal atau pendua bagi sesuatu urutan imej gambar tampak, rakaman yang digunakan sebagai cara
menunjukkan urutan sebagai gambar bergerak,” katanya.

Bahan tersebut katanya, perlu mempunyai Perakuan A yang diluluskan di bawah perenggan 10(1)(a) atau diubah sebagaimana dikehendaki dan Perakuan B bagi setiap salinan pendua yang dibuat mengikut Seksyen 16.

“Ini bermakna memiliki bahan itu dalam telefon bimbit, komputer atau komputer riba juga melanggar akta dan kami mempunyai kuasa untuk memeriksanya,” kata Wan Haslina.

Sinar Harian

Tiada ulasan: