15 Mei 2012

Dijemput ajal ketika kejar pencuri

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Rakan Koperal Rasul, Koperal Hamidin Daud yang juga merupakan pemandu kereta peronda polis berada di sebelah kenderaan yang remuk dilanggar lori curi yang mengundur.

ALOR GAJAH – Hajat dua anggota polis peronda untuk menangkap penjenayah yang melarikan sebuah lori membawa muatan perabot berakhir dengan seorang daripada anggota polis itu mati dilanggar kenderaan yang dikejar manakala penjenayah itu pula masih bebas.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Kampung Melekek di sini semalam, Koperal Rasul Tumin, 47, mati di tempat kejadian selepas digilis lori yang mengundur selepas kenderaan itu ditinggalkan oleh penyamun di jalan yang berbukit.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebelum tragedi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerima maklumat kehilangan sebuah lori tujuh tan yang membawa barangan perabot di Gemencheh, Negeri Sembilan pada pukul 6 pagi.

“Risikan pukul 6.55 pagi menemui lori tersebut berada di daerah Alor Gajah. Dua anggota polis peronda termaksud mangsa keluar mengesan kenderaan itu dan menemui lori tersebut di kawasan Masjid Tanah,” kata beliau ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Melaka di sini semalam.

Menurut beliau, Rasul yang menaiki kereta peronda dipandu rakan mengejar lori tersebut yang dipandu seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan tersebut.

Kereta peronda polis mengejar lori itu sehingga masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Solok Limau Purut, Melekek.

“Ketika berada di ladang kelapa sawit itu, lori tersebut tidak mampu mendaki jalan berbukit.

“Suspek yang panik terus terjun dari lori itu dan meninggalkan kenderaan tersebut dipercayai tanpa brek tangan menarik sebelum menghilangkan diri,” kata beliau.

KOSMO/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

inilah pengorbanan!!!!!

Tanpa Nama berkata...

alfatihah...rase-rasenye polis ni ke yg balun peserta bersih hari tuu.

Tanpa Nama berkata...

inilah yg dikatakan orang yang biadap,,lain kali nak cakap tu siasat dulu,,