05 Jun 2012

Penduduk sukar dapat talian Maxis, Celcom

15 Rejab 1433H. [MOD] -

CAMERON HIGHLANDS - Penduduk Orang Asli di kawasan Pos Betau dan kampung berdekatan mohon Kerajaan Negeri agar meminta syarikat telekomunikasi Celcom dan Maxis melebarkan perkhidmatan talian mudah alih dan jalur lebar di kawasan ini.

Seorang penduduk, Najib Tel, 35, berkata, dalam kancah era moden, mereka berasa tersisih dengan dunia luar kerana kawasan kampung itu masih belum menerima kemudahan rangkaian telefon mudah alih.

Menurutnya, mereka berasa cemburu dengan penduduk Kampung Kuala Medang dan Gugusan Felda Sungai Koyan yang sudah menikmati kemudahan telekomunikasi begitu lama dan selesa ber­hubung dengan saudara mara dan ­rakan di tempat lain.

“Untuk makluman Kerajaan Negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pernah men­ziarahi penduduk Pos Betau dan kami memperoleh ­jaminan daripada ­seorang pegawai ­telekomunikasi ­bahawa Pos Betau akan diberi ­talian mudah alih, iaitu pemasangan sebuah menara tidak lama lagi.

“Sampai sekarang janji berkenaan belum direalisasikan dan kami masih mengharapkan agar teknologi rangkaian telefon mudah alih berkenaan dapat dinikmati sepenuhnya sebelum pilihan raya tidak lama lagi,” katanya, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ali Panjang, 48, berkata, ­hampir 2,000 penduduk termasuk­ ­remaja dan belia di ­kawasan itu mempunyai ­sebuah ­telefon ­selular, tetapi tidak ­dapat ­dimanfaatkan lantaran ­tidak ada talian berkenaan.

Menurutnya, mereka terpaksa ke Pekan Sungai Koyan atau ke tempat tinggi yang agak jauh dari kampung untuk menikmati perhubungan rangkaian di tempat lain.

“Tidak dinafikan, kemudahan itu juga memberi manfaat besar kepada agensi kerajaan, iaitu Klinik Kesihatan, balai penghulu, sekolah, tadika dan orang perseorangan dapat menikmati akses komunikasi dengan lebih selesa.

“Kemudahan itu juga penting kepada pengguna jalan raya dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang melalui kawasan Pos Betau khususnya untuk meminta bantuan kecemasan semasa perjalanan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: