05 Jun 2012

Euro 2012: Lahm mahu rakan bangkit

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KAPTEN Jerman, Philipp Lahm mencabar rakan pasukannya agar mempamerkan aksi cemerlang pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang Portugal, Sabtu ini. Jerman, salah sebuah pasukan kegemaran menjuarai Euro hadir ke Ukraine dengan langkah kiri selepas tewas 3-5 kepada Switzerland pada aksi terakhir perlawanan persahabatan.

Malah, skuad Die Mannschaft dianggotai lapan pemain utama Bayern Munich yang tewas pada final Liga Juara-Juara, 19 Mei lalu dilihat kekurangan motivasi untuk menempuh kejohanan ini. Namun, Lahm yang juga kapten Bayern Munich percaya kekecewaan itu sudah dilupai dan mahu seluruh pasukan membina kembali keyakinan bagi memastikan misi Euro mereka berjaya.

“Adalah sangat sukar untuk mencapai keserasian, lebih-lebih lagi apabila kami tidak bermain dalam satu kumpulan sejak dua minggu lalu. "Namun begitu, perlawanan pertama nanti sangat penting bagi kami untuk mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Dalam masa sama, mampu beraksi di bahagian pertahanan kiri mahupun kanan, Lahm mengakui selesa bermain di keduadua posisi tersebut. "Saya tidak kisah diletakkan di bahagian mana sekalipun. Saya percaya mampu membantu pasukan melancarkan serangan daripada bahagian ini," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: