05 Jun 2012

Gempur: Mansuh PTPTN, tuntut pendidikan percuma

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) akan menjelajah ke kampus IPTA dan IPTS seluruh Malaysia bersama-sama Rafizi Ramli.

“Program jelajah ini dinamakan Gempur Kampus: Mansuh PTPTN dan Tuntut Pendidikan Percuma,” kata Presiden Kami, Haziq Abdul Aziz.

Tujuannya, kata beliau ialah untuk memberi penerangan secara meluas di peringkat akar umbi supaya mahasiswa dan golongan rakyat akar umbi faham mengenai polisi pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang dibawa oleh kumpulan mahasiswa.

Beliau berkata, Program Gempur Kampus itu berbentuk dialog dan ‘sembang-sembang’ antara anak muda dan mahasiswi.

Katanya lagi, program pertama diadakan di Wakdol Kopitiam Warisan, Seksyen 7, Shah Alam pada Selasa 5 Jun jam 5 petang berdekatan dengan UiTM Shah Alam untuk mengajak mahasiswa-mahasiswi UiTM untuk berdiskusi dan mengaju soalan kepada Rafizi.

Manakala program kedua diadakan di Universiti Industri Selangor, Bestari Jaya jam 8 malam pada hari Rabu 5 Jun.

“Kami menerima banyak respons yang baik setelah debat Rafizi-KJ diadakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, majoriti cenderung kepada idea untuk mansuh PTPTN dan mansuh sahaja caj pentadbiran 1% dan positif terhadap idea pendidikan percuma.

Namun, ujar beliau kempen harus diperhebatkan supaya masyarakat anak muda dan mahasiswa betul-betul faham mekanisme pemansuhan dan pelan pendidikan percuma.

Katanya, kes hutang pelajar dan tuntutan pendidikan percuma bukan berlaku hanya di Malaysia tetapi turut berlaku di Kanada, New Zealand, USA dan beberapa buah negara lain.

“Program gempur kampus ini akan diteruskan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia dan kampus-kampus UiTM seluruh negara,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: