05 Jun 2012

Kotor, tiada suntikan anti-typhoid

15 Rejab 1433H. [MOD] -

BAYAN LEPAS – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengeluarkan tujuh kompaun kepada tiga premis perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) selepas pemeriksaan mengejut dijalankan semalam.

Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, kompaun dikeluarkan selepas pemeriksaan terperinci dijalankan berdasarkan aduan yang dilaporkan oleh pelanggan dan orang ramai.

“Sebuah kopitiam yang beroperasi di aras satu dikenakan empat kompaun kerana dua pekerja yang mengendalikan makanan bukan sahaja tidak mendapatkan suntikan anti–typhoid (TY2), malah kawasan persekitarannya juga kotor.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati almari yang dijadikan tempat meletakkan utensil dipenuhi anak-anak lipas yang dikhuatiri akan mencemarkan kualiti makanan yang dihidangkan,” katanya.

Menurutnya, pemilik kopitiam itu memaklumkan kepadanya bahawa keadaan tidak teratur sejak mereka berpindah lokasi ke bahagian luar aras satu sejak dua bulan lalu.

“Pemiliknya turut memaklumkan bahawa pekerjanya terpaksa mengangkut sekurang-kurangnya lima gelen air basuhan pingan mangkuk yang ditadah dengan timba untuk dibuang ke dalam longkang kerana tidak memiliki sistem perparitan yang sempurna.

“Selain itu, kedudukan struktur kedai yang berhampiran kerja-kerja pembinaan bakal menyukarkan pihaknya untuk menjaga kebersihan dengan lebih teliti,” katanya.

Ah Teong berkata, notis amaran turut dikeluarkan kepada pusat pengurusan supaya menyediakan sistem perparitan sementara khusus untuk kopitiam terbabit.

“Difahamkan, mereka akan terus berniaga di situ sehingga September hadapan dan MPPP berharap pihak pengurusan akan menyediakan kelengkapan secukupnya khusus buat peniaga.

“Notis telah pun dihantar kepada pihak pengurusan dan mereka memiliki tempoh seminggu untuk menaik taraf infrastruktur bagi memudahkan peniaga menjalankan perniagaan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, sebuah restoran makanan segera dikenakan dua kompaun berjumlah RM200 apabila makanan ditemui di atas lantai di dalam peti sejuk beku restoran terbabit berserta bahan makanan diletakkan berhampiran bahan pembersih.

“Sebuah kafe turut dikenakan kompaun RM100 kerana ada pekerjanya yang memakai cincin ketika sedang menyediakan minuman.

“Saya berharap peniaga tidak memandang remeh isu ini memandangkan lapangan terbang ini merupakan pintu atau laluan utama pelancong ke Pulau Pinang.

“Ditambah dengan kerja-kerja naik taraf yang rancak dijalankan, aspek kebersihan perlu dititikberatkan untuk mengelakkan makanan yang dijual tercemar dan dijangkiti bakteria,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa peniaga yang membayar kompaun dalam tempoh dua minggu akan menerima diskaun pemotongan harga 50 peratus.

Sinar Harian

Tiada ulasan: