05 Jun 2012

MPK tanam pokok komited hijaukan alam

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa menitikberatkan aspek kehijauan setempat termasuk penanaman pokok untuk keindahan bandar diraja dan kawasan sekitar.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, bagi menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen terpenting dan pihaknya komited dalam usaha melestarikan kawasan sekitar dan usaha itu akan berjaya melalui kerjasama semua pihak.

[Gambar: Ehsan (kiri) bersama Pengarah Jabatan Taman Dan Rekreasi MPK, Muhammad Hijaz Sanusi (kanan) bersama wakil penduduk dan Gamuda Land pada perasmian Program Hijau Bumi di Bandar Botanik.]

Menurutnya, komitmen yang diberikan oleh persatuan penduduk, syarikat swasta dan masyarakat setempat turut akan membantu majlis ke arah mewujudkan persekitaran indah serta ceria.

“Penyediaan landskap yang berkualiti dan sempurna memberi impak yang cukup bermakna untuk semua terutama di kalangan warga Klang dan ia patut dilakukan secara berterusan kelak.

“Malah hasilnya ini akan menampilkan keindahan dan wujudnya keselesaan persekitaran kehidupan seterusnya mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hijau Bumi anjuran MPK dengan kerjasama Gamuda Land dan Persatuan Penduduk Bandar Botanik di sini.

Ehsan berkata, elemen landskap yang indah dan kehijauan setempat yang berkualiti akan memberi keselesaan selain bakal menarik perhatian pelancong tidak kira dari dalam dan luar negeri kelak disamping menjadi perhatian orang ramai untuk menetap di situ khususnya sekitar Bandar Botanik.

Menurutnya, dari Januari hingga April tahun ini, MPK telah menanam 49,366 pokok dengan purata 12,341 sebulan dan ia menunjukkan komitmen majlis dalam menceriakan persekitaran setempat melalui aktiviti penanaman pokok di kawasan terlibat.

Harakah Daily

Tiada ulasan: