05 Jun 2012

Penduduk menempah maut lintas landasan

15 Rejab 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Lebih 200 lintasan haram antara Stesen Keretapi Tumpat sehingga Stesen Keretapi Gua Musang bukan lagi boleh dipandang ringan kerana ramai penduduk yang sengaja melintasi landasan itu berdepan dengan risiko kemalangan maut.

Gelagat penduduk dan pelajar sekolah terutama yang tinggal di tepi sepanjang landasan kereta api langsung tidak membayangkan mereka berada diambang maut kerana bukan sahaja melintas, tetapi ada juga yang sengaja menjadikan landasan itu sebagai tempat berehat.

Walaupun sebelum ini kerap berlaku kemalangan maut kerana digilis kereta api berikutan melintas landasan secara haram, namun kebanyakan penduduk masih menganggap kemalangan berkenaan sebagai ketentuan Ilahi tanpa menghiraukan kelakuan mereka yang menggadai nyawa.

Tinjauan mendapati, antara kawasan yang paling ramai penduduk melintas landasan kereta api secara haram itu sekitar Stesen Keretapi Gua Musang, Kuala Krai khususnya di Kampung Pahi dan Stesen Keretapi Tanah Merah dan Pasir Mas.

Seorang penduduk, Jamil Harun, 56, mengakui kebanyakan penduduk yang tinggal di tepi landasan kereta api terpaksa melintasnya sama ada untuk ke kampung lain di seberang landasan itu atau menghantar anak ke sekolah.

Katanya, ini berikutan kerajaan tidak membina jejantas bagi memudahkan penduduk berulang alik setiap hari dan tidak ada alternatif lain kecuali melintas landasan kereta api walaupun berdepan risiko kemalangan maut.

Namun, dakwa beliau, setiap penduduk yang melintas landasan itu juga tidak secara tergopoh gapah kerana mereka sudah tahu jadual perjalanan kereta api bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kanak-kanak.

“Kita juga faham dengan keadaan keselamatan anak-anak walaupun kerap menerima teguran pihak pengurusan kereta api mengenai lintasan haram berkenaan dan kita mahu kerajaan bina jejantas bagi keselamatan semua.

“Memang ada lintasan yang dibenarkan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang dikawal khusus pekerjanya, tetapi hanya di kawasan tertentu sahaja dan berjauhan dengan kampung menyebabkan penduduk bertindak demikian,” katanya.

Daud Yusoff, 52, pula berkata, ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak mereka untuk melintasi landasan kereta api ketika dalam perjalanan ke sekolah terutama di Kampung Pahi kerana bimbang dengan risiko kemalangan.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk juga kerap melarang kanak-kanak daripada bermain di atas landasan kereta api maklum sahaja sementara ibu bapa mereka datang mengambil berehat dulu di kawasan landasan terbabit.

“Kita sudah lama memikirkan masalah lintasan landasan kereta api secara haram itu termasuk mengesyorkan kepada pihak berwajib termasuk minta bina jejantas, namun sampai sekarang belum dilaksanakan,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: