05 Jun 2012

Putih mata RM5,000 lesap

15 Rejab 1433H. [MOD] -

JABI, TERENGGANU – Pasangan guru terpaksa berputih mata dan kerugian lebih RM5,000 apabila mendakwa tertipu ketika membeli beberapa barangan elektrik daripada sebuah syarikat jualan lansung yang beroperasi di lokasi tertentu di bandar Jertih bulan lalu.

Guru lelaki berumur 33 tahun terbabit berkata, dia berasa tertipu kerana barangan yang dibeli tidak berkualiti dan tidak mempunyai pengesahan Sirim.

Dakwanya, kisahnya bermula apabila isterinya juga seorang guru berumur 29 tahun ditawarkan hadiah gelas oleh seorang jurujual yang menunggu pelanggan di tempat tertentu.

“Selepas mengisi borang di kaunter mereka, jurujual itu memberikan dua baucar kepada isteri saya, kononnya satu baucar memenangi RM50 dan satu lagi RM1,000,” katanya.

Guru itu berkata, jurujual lelaki terbabit memujuknya membeli set teater rumah bernilai RM3,688 dengan harga hanya RM2,688 setelah ditolak diskaun baucar RM1,000 yang dimenangi.

Dakwanya, isterinya memberitahu tidak ada wang sebaliknya jurujual itu mahumelihat kad ATM namun selepas diberikan jurujual itu terus melayangkan kad ke ATM pada mesin yang menunjukkan nilai RM700.

“Jurujual itu memberitahu wang itu tidak hilang dalam akaun dan meminta kad ATM lain serta kad ATM milik saya untuk membuat baki pembayaran termasuk membayar satu produk lagi barangan yang kononnya berharga RM3,500 tetapi saya hanya perlu bayar dengan harga RM900,” katanya.

Bagaimanapun, pasangan guru itu kesal kerana apabila membawa pulang peralatan yang dibeli, satu daripadanya rosak dan tidak ada tanda kelulusan Sirim serta tidak sepadan dengan harga.

Apabila mahu kembalikan barangan itu, syarikat terbabit enggan menggembalikan wangnya sebaliknya guru berkenaan hanya boleh membuat pertukaran barang, itupun dengan syarat mereka perlu membeli barangan lain.

Mangsa yang bertugas di sebuah sekolah di Setiu menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya berikutan ditipu jurujual sebuah syarikat jualan langsung.

“Akibat terdesak, kami terpaksa membeli lagi barangan lain bernilai lebih RM1,000 dan apabila pulang, baru terlintas kami tertipu dan telah membuat pembayaran kesemuanya berjumlah RM5,436,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Jertih.

Guru itu berkata, jurujual berkenaan juga memaklumkan dia tidak dapat berbuat apaapa termasuk tidak boleh mengembalikan wang kerana dia dan isterinya telah menurunkan tanda tangan pada surat belian.

“Saya membuat pendedahan ini supaya orang lain tidak menerima nasib seperti saya yang tertipu dan perlu berhati-hati ketika berurusan dengan syarikat ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: