05 Jun 2012

Guna bomoh cari anak lembam

15 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Perasaan bimbang semakin membelenggu fikiran ibu kepada remaja lembam, Mohd Suhaimi Ramli, 15, yang tidak pulang sejak 13 hari lalu.

Rohani Mohd Ali, 44, berkata, setelah berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan di dalam akhbar, dia turut menerima panggilan orang ramai yang terserempak dengan anaknya di sekitar pusat bandar dengan menunggang basikal fixie.

Menurutnya, ada dalam kalangan jiran dan rakan anaknya itu yang memaklumkan mereka turut ternampak remaja itu menunggang basikal di Jalan Putra.

“Perasaan saya sebagai ibu sukar digambarkan kerana setiap hari memikirkan keadaan dan makan minumnya, apatah lagi dia mengalami masalah lembam.

“Usaha mencari Mohd Suhaimi masih dilakukan walaupun saya rabun. Saya tetap berusaha mencari untuk membawanya pulang,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian 2 Jun lalu, menyiarkan berita mengenai kehilangan Mohd Suhaimi yang tidak pulang ke rumahnya di Flat Seri Gemilang, Mergong, setelah keluar tanpa memaklumkan kepada sesiapa.

Ketika kejadian Mohd Suhaimi tinggal bersama kakaknya, manakala Rohani keluar bekerja namun kakaknya terlupa mengunci pintu rumah yang memberi peluang kepada remaja itu keluar.

Mohd Suhaimi, yang keluar dengan menunggang basikal fixie berwarna merah tidak membawa wang dan kad pengenalan.

Rohani berkata, mereka sekeluarga langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau perselisihan faham dengan Mohd Suhaimi.

Selain usaha mencari di beberapa kawasan, Rohani berkata, mereka turut berikhtiar dengan cara berjumpa bomoh bagi mengesan Mohd Suhaimi.

“Bomoh memaklumkan anak saya masih berada di kawasan sekitar, termasuk pusat bandar namun tidak tahu bagaimana untuk pulang.

“Masalah lembam yang anak saya alami itu menyebabkan saya khuatir dia tidak tahu jalan untuk pulang ke rumah,” katanya.

Rohani berharap kepada sesiapa yang terserempak dan menjumpai Mohd Suhaimi agar membantu membawa remaja itu pulang ke pangkuan keluarga.

Sinar Harian

Tiada ulasan: