05 Jun 2012

Curi surat pajak gadai mentua

15 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli keperluan anak dan isteri, seorang pembantu kedai runcit sanggup mencuri surat pajak gadai milik ibu mentuanya di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan Muhammad Azlin Shafie, 23, dari Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM3,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif turut mengarahkan tertuduh membayar ganti rugi ­kepada ibu mentuanya itu sebanyak RM5,000 dan jika gagal berbuat demikian, dia akan dipenjarakan selama dua bulan.

Hukuman dijatuhkan selepas Muhammad Azlin mengaku salah mencuri sekeping surat akuan gadaian milik Rohaiza Abdullah, di sebuah rumah di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, kira-kira jam 8 malam, 30 November 2011.

Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kedua serta seterusnya, dia boleh dipenjara serta dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Haliza Abd Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari surat gadaian barang kemasnya yang bernilai gadaian RM9,000 telah hilang pada 30 November 2011, kira-kira jam 8 malam.

Setelah hampir empat hari mencari, mangsa mengambil keputusan untuk ke kedai pajak gadai terbabit di Jalan Banggol, di sini, untuk bertanyakan hal kehilangan surat gadaian itu pada 4 Disember 2011 kira-kira jam 2.30 petang.

Namun jawapan yang diterima begitu mengejutkan apabila pemilik kedai terbabit memaklumkan, surat gadaian itu sudah ditebus oleh seorang lelaki bernama Tg Mahmud Tg Chik dari Kampung Kedai Manir, di sini.

Pemilik kedai itu turut memaklumkan, surat gadaian telah ditambah nilai ­gadaian dari RM9,000 kepada RM10,000 oleh tertuduh, menyebabkan nama penggadai ­dalam surat gadaian telah bertukar kepada nama tertuduh dan ini membolehkan tertuduh menjual surat gadaian itu kepada Tg Mahmud Tg Chik.

Yakin tertuduh melakukan penipuan yang melampau, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit dan susulan itu, dia ditangkap pada 16 Disember 2011 kira-kira jam 4.15 petang di kediamannya di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, di sini.

Tertuduh yang sebelum ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas ­dakwaan mencuri, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagaimanapun, semalam, tertuduh menukar pengakuan kepada mengaku salah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: