05 Jun 2012

Mia dalam keadaan stabil

15 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Bayi yang menghidap penyakit hati, ‘missed biliary atresia’, Putri Mia Adriana Mohd Nooridan dimasukkan ke Hospital Selayang, semalam untuk membuang air dalam perutnya dan keadaannya stabil.

Ibunya, Nurhashimah Tasim berkata, Mia menerima rawatan di hospital tersebut kerana perut anak bongsunya itu semakin membesar sejak 27 April lepas akibat sistem perkumuhannya tidak normal.

“Saya tidak pasti berapa lama Mia akan berada di hospital dan kami sekeluarga bersyukur kerana Mia akan diberikan makanan untuk menambahkan berat badannya. Mia baru berumur tujuh bulan dan hanya minum susu formula yang dinasihatkan oleh doktor sahaja,” katanya.

Menurutnya, berat badan Mia hanya 5.5 kilogram (kg) dan memerlukan penambahan berat badan sebanyak 10 kg untuk membolehkan proses pemindahan hati dilakukan.

“Mia sering menangis kerana menahan kesakitan dialaminya. Kami risau dengan keadaannya kerana perutnya semakin membesar dan tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung oleh Mia,” katanya.

Beliau berkata, selepas berita mengenai Mia disiarkan dalam Sinar Harian, beliau mendapat respons baik daripada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan dan setakat ini seramai empat orang sudi menjadi penderma hati kepada anaknya.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap kesihatan anak saya dan ada yang sudi mendermakan hati mereka kepada Mia.

“Saya berharap ada penderma hati yang sesuai untuk Mia ditemui dengan segera kerana kami tidak sanggup melihat penderitaan yang ditanggung Mia,” katanya. Nurhashimah berkata, beliau juga mengharapkan orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan anaknya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan kewangan kepada Mia bolehlah disalurkan melalui akaun Maybank Nurhashimah 162107039647.

Sinar Harian

Tiada ulasan: