12 Julai 2012

Jurutera rugi RM12,000 disamun lelaki berparang

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Seorang jurutera syarikat penerbangan mengalami kerugian dianggarkan RM12,000 selepas rumahnya di Taman Bukit Kristal di sini, dimasuki kumpulan penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian Isnin lalu.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50-an yang baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah terkejut diserbu tiga lelaki yang kemudiannya mengacukan parang ke arahnya.

Sumber polis berkata, seorang daripada suspek terbabit menunggu di luar rumah, sementara tiga rakannya yang lain memasuki kediaman berkenaan.

“Empat lelaki yang menaiki dua motosikal berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum tiga daripadanya masuk ke dalam rumah mangsa sambil mengugutnya dengan mengacukan parang.

“Mereka melarikan beg sandang berjenama LV milik mengandungi wang tunai RM8,000 dan rantai leher milik anak mangsa, telefon bimbit serta beberapa barangan berjenama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang memakai topi keledar tidak mencederakan mangsa dan melarikan diri selepas mendapat hasil samun.

"Siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah mangsa melalui pintu pagar dan pintu rumah yang tidak berkunci," katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau hubungi talian 06-6033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: