22 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUANTAN – Air mata Hasrol Syawal Hamid, sudah cukup menggambarkan betapa dia menjadi orang yang paling kecewa selepas Terengganu gagal meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir bola sepak Sukma, kelmarin.
Ini kerana, dia gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir ketika mereka berdepan situasi hidup mati selepas terikat 2-2 dengan Kuala Lumpur dalam masa tambahan.
Namun, Hasrol Syawal tidak harus terus-terusan menyalahkan diri sendiri. Mungkin bukan rezeki Terengganu untuk pertahankan pingat emas buat tahun keempat kali ini, apatah lagi, adik-adik skuad Penyu Muda dilihat bermain dengan baik sekali, termasuk Syawal sendiri.
Bagaimanapun, perjuangan dan tentangan habis-habisan hingga akhirnya skuad Penyu Muda dinafikan hak ke separuh akhir menerusi penentuan penalti, seharusnya diambil sebagai pengalaman dan pengajaran bermakna buat mereka.
Meskipun terpaksa pulang hampa tanpa meraih sebarang pingat selepas ditewaskan 4-5 oleh Wilayah Persekutuan dalam penentuan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan, kebangkitan Terengganu setelah ketinggalan 0-2 harus dipuji.
Biarpun sekadar mara ke peringkat suku akhir, pengurus pasukannya, Marzuki Sulong nyata berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya sehingga membawa ke perlawanan masa tambahan.
Justeru, beliau menerima kekalahan itu sebagai cabaran baru dalam memperkuatkan lagi pasukannya pada masa depan.
“Saya bangga dengan semangat yang ditunjukkan anak buah saya, mereka sudah mencuba yang terbaik dan kita boleh lihat kesungguhan mereka setelah ketinggalan, 0-2 pada separuh masa yang pertama.
“Namun, mereka berjaya bangkit, sehingga kita dapat menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua walaupun terpaksa berjuang dengan 10 pemain apabila salah seorang pemain dikenakan kad merah dan berjaya mengikat kedudukan sehinggalah berakhir masa tambahan,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir, petang kelmarin.
Marzuki turut melahirkan kesedihan di atas kekalahan itu dan memohon maaf kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepada atlet bola sepak Terengganu.
Ketika ditanya perancangan masa depan pasukan, Marzuki yakin pasukannya mampu memberi saingan sengit pada kejohanan akan datang berdasarkan usia pemain yang ratarata masih muda (19 tahun) dan masih mempunyai dua tahun untuk digilap penuhnya.
“Selepas ini kita akan terus meneruskan program pembangunan sukan bola sepak dengan mencari bakat baru sebagai skuad pelapis,” katanya. Sementara itu, pengendali skuad Wilayah Persekutuan, Mohamed Razip Ismail mengakui Terengganu sukar untuk ditumpaskan, namun dengan semangat tinggi dan fokus dalam mencapai kemenangan, akhirnya berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir.
“Biarpun mendahului 2-0 pada babak pertama, nyata Terengganu bangkit mengikat kedudukan sehingga mengheret ke masa tambahan dan penentuan penalti, ini pernah terjadi dua tahun lalu, namun kali ini berpihak kepada kami,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan