22 Syaaban 1433H. [MOD] -
MEMIKUL tanggungjawab besar dalam Olimpik London 2012 yang akan berlangsung 27 Julai nanti, atlet terjun negara, Pandelela Rinong mengakui berdepan dengan tekanan apabila tersenarai sebagai sandaran bagi mengakhiri penantian pingat emas untuk Malaysia.
Terpilih menjadi atlet wanita pertama negara yang diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian Olimpik 2012 nanti, Pandelela menyifatkan kejohanan berprestij kali ini berbeza dengan penyertaan pertamanya di Olimpik Beijing 2008.
"Jika empat tahun dahulu saya hanya turun sebagai atlet muda untuk menimba pengalaman dengan membawa pulang pingat perak, namun kali ini bagaikan Olimpik pertama saya kerana matlamatnya berbeza.
"Diberi kepercayaan untuk beraksi dalam tiga acara termasuk penghormatan membawa Jalur Gemilang, saya berharap untuk mencipta kejutan sekali gus melakar sejarah peribadi dengan memenangi pingat emas.
"Meskipun berdepan dengan tugas sukar, namun jurulatih (Yang Zhuliang) sentiasa memberi semangat mahu saya menjadikan bebanan itu sebagai satu cabaran buat diri," katanya ketika ditemui semalam.
Turut berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi kepercayaan dan peluang keemasan kepadanya untuk mengetuai perarakan kontinjen Malaysia di London nanti, penerjun berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak itu melihat pemilihannya sebagai satu penghormatan buat rakyat Bumi Kenyalang.
Dalam perkembangan lain, kembali menjalani latihan bersama skuad terjun negara Olimpik 2012 di Guangzhou, China hari ini, Pandelela yang mengambil bahagian dalam acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee serta acara 3 meter papan anjal seirama, bersama Cheong Jun Hoong akan berangkat ke London bersama kontinjen negara pada 23 Julai nanti.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan