22 Syaaban 1433H. [MOD] -
PERSAINGAN merebut slot automatik untuk beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan terus menjadi sasaran tiga pasukan iaitu Johor FC, Felda United dan Sarawak.
Bakal mengakhiri saingan Sabtu ini, peluang ketiga-tiga pasukan tersebut dilihat seimbang apabila masing-masing akan beraksi ditempat sendiri pada pertemuan itu nanti.
Bagi Johor FC, kemenangan 2-0 ke atas Terengganu semalam, tidak bermakna pasukan bimbingan Sazali Saidon mampu untuk menarik nafas lega, sebaliknya harus berhati-hati setelah pesaing mereka, Felda United turut mencipta kejutan menewaskan Kelantan 1-0.
Mengulas mengenai peluang pasukan Johor FC, Sazali menjelaskan kedudukan pasukan mereka kini bergantung kepada perlawanan terakhir menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.
"Buat masa ini, saya masih belum mampu untuk menarik nafas lega kerana pasukan lain turut impikan slot tersebut.
"Jadi, pada perlawanan itu nanti saya telah mengingatkan kepada semua pemain agar sentiasa fokus dan terus berjuang sehinggalah wisel penamat.
"Ini kerana kami memerlukan kutipan tiga mata penuh agar hasrat untuk melayakkan secara automatik tidak terbantut," kata Sazali ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Katanya, kedudukan Johor FC sekarang dalam keadaan bahaya dan berisiko terjerumus ke saingan Liga Perdana musin depan.
Ini berikutan kedudukan mata antara Johor FC dan Felda United kini terikat dengan 32 mata manakala Sarawak terus mengekori di belakang dengan mengutip 30 mata.
"Jadi, amat penting untuk kami mencatat kemenangan ke atas Lions XII sambil berharap Sarawak tidak akan berjaya untuk mencipta kejutan ke atas Kelantan nanti," jelas beliau.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan