12 Julai 2012

Penganggur tuduh ugut ibu dengan pisau

22 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengugut ibunya menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Kampung Surau Bator, Bachok, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Ayub Mat Jusoh, 31, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik semalam.

Mohd Ayub didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Rahmah Botok, 64, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu kayu di sebuah rumah di Kampung Surau Bator pada jam 2 pagi, 13 Jun lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintendan Mohd Yazid Yahya manakala tertuduh yang merupakan seorang penganggur tidak diwakili peguam.

Mohd Yazid menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 tetapi tidak ada sebarang rayuan dikemukakan olehnya dan Mohd Asri mengekalkan jaminan RM4,000 terhadap Mohd Ayub serta menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes.

Sinar Harian

Tiada ulasan: