22 Syaaban 1433H. [MOD] -
CHAI Chwan Hau dari Melaka membuka tirai acara wushu dengan pungutan emas menerusi acara Nanquan lelaki, di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, semalam. Beliau memperoleh 9.57 mata, mengatasi pencabar terdekat, Andy Chan dari Sarawak dengan beza 0.01 mata, manakala gangsa milik Liew Lik Kee dari Sarawak dengan 9.53 mata.
Chwan Hau, 19, bagaimanapun kurang berpuas hati dengan prestasinya dan merasakan mampu melakukan persembahan yang lebih baik.
“Memang saya mensasarkan emas untuk acara ini, namun saya rasa boleh buat lebih bagus lagi. Andy juga melakukan persembahan yang baik cuma mungkin nasib saya lebih baik.
“Saya menghormati beliau sebagai pencabar dan kami selalu bersaing dalam kejohanan- kejohanan kebangsaan,” katanya. Sepupu kepada juara Asia Chai Fong Ying ini turut mengintai peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan selain berhasrat mewakili negara ke Sukan Sea.
“Buat masa kini saya belum berpeluang (menyertai skuad kebangsaan) kerana sudah ada dua orang atlet Nanquan dalam skuad kebangsaan,” katanya yang meraih perak pada Kejohanan Wushu Remaja Asia di Beijing, China tahun lalu.
Sementara itu, Negeri Sembilan menguasai acara Nanquan wanita apabila Tan Cheau Xuen dan Wong Yik Yan masing-masing merangkul emas dan perak. Sementara Saw Chai Hui dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa dengan .35 mata.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan