25 Julai 2012

Memanfaatkan artis yang berhijrah

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Ada beberapa sahabat bertanya kepada saya, mengapa ramai artis – pelakon dan penyanyi menyertai PAS, sedangkan pada ketika yang sama ada sesetengah ustaz sendiri tidak berminat pun pada PAS.

Ada beberapa sebab, jawab saya, pertama Allah mendorong hati mereka untuk melihat kebenaran yang diperjuangkan oleh PAS yang berasaskan Islam. Kedua boleh jadi mereka melihat pendukung PAS sangat setia kepada parti dan sanggup berkorban untuk perjuangan Islam. Ketiga akhlak yang ditunjuk oleh pendukung PAS selama ini menarik perhatian mereka, kelima merasakan ada kekuatan istimewa dianugerah oleh Allah kepada PAS di mana walaupun dilanda fitnah dan tuduhan oleh musuh politiknya, namun PAS terus wujud seperti air yang terus mengalir.

Mungkin banyak lagi sebab-sebab lain yang mendorong para artis itu menyertai PAS.


Yang sangat menarik, kata sahabat itu lagi, kalau dilihat di mata kasar atau lojik akal, tidak ada apa yang boleh diberi oleh PAS kepada mereka, justeru PAS tidak ada saham, projek-projek, tender-tender dan pelbagai peluang lain yang boleh diberi, yang biasanya menjadi idaman ramai orang.

Saya juga memikirkan persoalan ini, tetapi setelah saya mendengar ucapan Aishah di beberapa ceramah terutama di Himpunan Hijau di Alor Setar 1 Julai lalu, juga mendengar pandangan Bob Lokman, Abby Abadi, Hairie Othman dan lain-lain, ternyata artis ini menyertai PAS dengan kesedaran yang mendalam.

Tidak syak lagi, mereka golongan artis yang berfikiran mendalam, mempunyai prinsip, sedar akan kehidupan mereka sebagai insan yang punya rasa tanggungjawab terhadap agamanya.

Aishah, umpamanya, seorang artis yang mempunyai idea yang jelas, teratur, mendalam dan terkawal serta bacaan politik yang baik. Beliau bercakap mengenai makna hijrah, tanggungjawab seorang ibu terhadap anak, kehidupannya sebagai insan di depan kekuasaan Allah dan lain-lain.

Aishah yang mendapat pendidikan di luar negara dalam jurusan sains politik, bercakap dengan lancar mengenai situasi politik tanah air yang dilihatnya dilingkari kebejatan politik, rasuah, penyelewengan dan lain-lain.

Malah lebih menarik lagi apabila beliiau menyatakan kebimbangannya dengan nasib masa depan anaknya dan generasi seangkatan anaknya memandangkan situasi negara yang sedemikian rupa.

Itulah Aishah yang dulunya saya juga meminati lagu-lagunya, terutama – Bahtera Merdeka, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Pulang, justeru ia mengandungi mesej yang murni. Alhamdulillah dengan kersedaran dan menyedari masa depannya dan anaknya, maka beliau melangkah ke dunia baru - menjadi ahli PAS.

Walaupun dunia baru ini tidak menjanjikan kemewahan, namun suasana yang ada di dalamnya kiranya cukup memberikan ketenangan kepada Aishah. Tahniah kepada Aishah dan artis lain kerana memilih jalan terbaik. Dalam masa yang sama mari kita berdoa agar artis yang lain – dengan izin Allah - akan terpanggil pada suatu masa nanti dalam usaha mencari keredhaan Allah.

Sebagai penulis saya menggemari lagu-lagu yang ada elemen sastera seperti lagu puisi Almarhum Zubir Ali, lagu dan suara Ito ‘Engkaulah’, lagu-lagu puisi Sani Sudin dan lain-lain. Sebab itu bagi saya, seni – termasuk seni muzik – adalah bahasa universal – yang difahami dan boleh dinikmati ramai orang.

Atas keyakinan itu, bagi saya seni nyanyian, puisi, nasyid, qasidah berzanji, seni lakon dan seumpamanya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan. Namun semua genre seni ini, dalam pandangan Islam, tertakluk kepada batas-batas moral dan hukumnya dan ini sewajarnya dipatuhi.

Dengan itu saya bersetuju dengan pandangan saudara Ahmad Lutfi Othman bahawa Aishah mempunyai kerangka idea yang jelas mengenai perubahan seni hiburan yang dihasratkannya. Eloklah pemimpin PAS, katanya, dapat berkongsi idea dengannya.

Ahmad Lutfi menganjurkan lebih sesuai dianjurkan satu program ramah mesra membabitkan pimpinan tertinggi parti bukan saja bersama personaliti popular yang menyertai PAS tetapi juga penggiat budaya, yang mahu memartabatkan dunia seni ke landasan yang diredai Allah.

Saya terharu dengan langkah Abby Abadi yang menyerahkan borang kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjadi ahli PAS seumur hidup. Dalam program Pemuda di Kuala Kedah 26 Jun Lalu beliau secara terbuka melafazkan: "Demi Islam, saya tidak lagi takut kepada manusia dan bimbang akan kehilangan semua kerana ia datang daripada Allah. Sekiranya saya tidak dibenarkan lagi keluar di TV, tak apalah, sebab saya sayangkan agama saya.” Demikian pengorbanan Abby Abadi, suatu komitmen yang sangat mengharukan.

Kini para artis itu, termasuk Dayangku Intan, Catriona Ross telah menjadi ‘keluarga’ Pakatan Rakyat. Oleh itu, selepas ini PAS/Pakatan perlulah memikirkan secara serius, bukan saja melindungi, tetapi memberi ruang luas kepada artis ini untuk berkarya dalam batas-batas yang dibenarkan oleh akhlak Islam.

Ertinya, PAS/Pakatan Rakyat perlu memikirkan konsep hiburan altenatif yang boleh dilaksanakan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya kelak. Lagu-lagu puisi, nashid, qasidah, berzanji dalam pelbagai bentuk, filem, teater seperti ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ karya Dinsman dan seumpamanya sewajarnya boleh dikembangkan.

Saya masih ingat, ketika berkunjung ke Iran lama dulu, di dalam kapal terbang saya ditontonkan dengan sebuah filem Iran yang sangat mengesankan. Tidak ada unsur maksiat, babak-babak ghairah dan sebagainya oleh pelakonnya yang menutup aurat. Ia menceritakan kisah seorang wanita muda berkahwin dengan seorang lelaki tua di mana lelaki itu berusaha untuk memperlihatkan kegagahannya seperti lelaki muda dengan bekerja penuh dedikasi dan pintar - dalam masa yang sama membelai kasih sayang terhadap isterinya yang masih muda itu.

Saya pergi ke sebuah bazar di Tehran dan mendapati banyak dijual filem-filem Iran yang bermutu, malah pernah memenangi oskar dalam festival filem di Barat. Namun, kata seorang teman di sana, filem-filem Iran sangat menjaga aspek moral dan menjauhi adegan panas, sementara pelakonnya menutup aurat.

Di Indonesia, lagu-lagu dakwah telah berkembang subur sejak lama dulu, malah filem berunsur Islam telah begitu banyak diterbitkan, seperi Titian Serambut Dibelah Tujuh, Di Bawah Lindungan Ka’abah (dari novel Buya Hamka), Nada dan Dakwah, Fatahillah, Ayat-Ayat Cinta (dari novel Habiburrahman El-Shirazi) dan lain-lain.

Ini menunjukkan bahawa bidang seni sangat luas dan penting kedudukannya. Oleh itu PAS/Pakatan Rakyat perlu merancang secara serius kedudukan seni budaya di mana rakyat sedang menanti penuh harapan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: