25 Julai 2012

1,500 anak muda tamu Ramadan di Masjid Beijing

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG: Seramai 1,500 anak muda di kawasan parlimen Rantau Panjang menyertai program Tadarus Anak Muda Tamu Ramadan di Masjid Beijing semalam.

Antara yang hadir pelajar-pelajar sekolah agama, pusat pengajian pondok, maahad tahfiz dan golongan belia tempatan.

Setiap mereka yang hadir diberi senaskah al-Quran sebagai cenderahati. Program tersebut dianjur Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Beijing.

Program berkenaan bermula jam 10 pagi dan berakhir selepas solat Zohor, dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Anak muda terbabit turut diraikan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Gual Periok, Mohamad Awang, Pengarah TATOK, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Penolong Kanan Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Hariff Ghazali.

Husam berkata, al-Quran dianggap sebagai peti rahsia kepada manusia yang mengandungi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai hal-hal dunia dan akhirat.

“Membaca al-Quran bukan setakat untuk mengetahui pelbagai cerita, tetapi untuk mengetahui rahsia tertentu mengenai khazanah Tuhan berkaitan dengan kehidupan manusia.

“Pelajaran yang kita dapat dari al-Quran lebih tinggi jika dibandingkan dengan ilmu yang dipelajari daripada saluran lain,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurutnya al Quran juga menceritakan sebuah kerajaan Islam yang canggih boleh kita jadikan model hari ini, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sangat besar, hebat dan masyhur.

Nabi Sulaiman menggalakkan manusia mempelajari pelbagai bahasa bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan.

“Hatta bahasa burung dan semut sekali pun digalakkan belajar dan difahami,” ujar beliau.

Nabi Sulaiman juga menggalakkan kakitangan pentadbiran melakukan gerak kerja dengan cepat dan pantas.

Ini dapat dilihat bagi mengangkat istana Puteri Balqis, Nabi Sulaiman a.s memilih Jin Efrit yang menawarkan diri untuk mengangkatnya dalam tempoh sekelip mata.

Sementara itu, Mohd Khir Zahri berkata, program berkenaan merupakan siri kedua, di mana tahun lepas diadakan di Qaryah Ramadan, Dataran Stadium, bertujuan mendekatkan anak-anak muda dengan masjid.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: