25 Julai 2012

Royalti anjur Ifthar Kota Bharu-Gua Musang 27 Julai

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) akan menganjurkan program Konvoi Walk for Royalti (Ifthar) sempena bulan Ramadhan ini.

Setiausahanya, Muhammad Hisyamuddin Ghazali, berkata majlis berkenaan akan diadakan pada 27 Julai ini bermula di Kota Bharu dan dijangka berakhir di Gua Musang.

Katanya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dijangka merasmikan program berkenaan pada jam 10.00 pagi selepas menyampaikan kuliah Jumaat.

Hisyamuddin seterusnya berkata, antara destinasi jajahan yang dipilih untuk berehat, Tanah Merah, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Krai dan Gua Musang untuk bersahur.

“Keesokannya program bersama masyarakat di Manek Urai untuk beramah mesra dan penyampaian hadiah,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu setakat ini sebanyak 50 buah kenderaan telah bersetuju untuk menyertai program itu khususnya di kalangan anak-anak muda.

Pada masa yang sama katanya, jalan utama Kota Bharu-Kuala Krai diambil sebagai simbolik lebuh raya yang diinginkan oleh rakyat.

“Tuntutan R ini bukan sahaja untuk mendapatkan royalti, sebaliknya diharap dapat membina lebuhraya sebagaimana yang dirancang melalui wang royalti petroleum,” ujarnya.

Katanya lagi, program berkenaan diadakan untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang tanggungjawab menuntut royalti milik mereka dari kerajaan Pusat.

Sambungnya, kezaliman kerajaan Pusat yang menyekat royalti itu melalui Petronas seharusnya diketahui mereka.

Sehubungan itu, program berkenaan masih terbuka untuk orang ramai yang berminat menyertainya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: