25 Julai 2012

Dua lelaki ditahan hisap rokok di tempat awam, minum di kedai makan bukan Islam

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KLUANG - Sungguh memalukan apabila dua lelaki ditahan pegawai Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang di lokasi berasingan kerana tidak menghormati Ramadan dalam operasi yang dijalankan, kelmarin.

Operasi sempena Ramadan itu, bermula kira-kira jam 10 pagi, dijalankan bagi menahan umat Islam yang tidak menunaikan ibadah puasa.

Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, seorang lelaki berusia 20-an berjaya ditangkap ketika sedang menghisap rokok di tempat awam iaitu di atas tembok di kawasan Perindustrian Mengkibol.

“Sewaktu tangkapan, lelaki berkenaan sedang asyik menghisap rokok tanpa berasa malu dengan per- buatannya itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut bekerja di sebuah bengkel terletak di kawasan berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, di lokasi berasingan, pihak JAJ daerah Kluang berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang sedang minum di sebuah kedai makan milik bukan Islam di Jalan Batu Pahat, di sini.

Mohd Khalil berkata, tanpa ada rasa segan silu lelaki tersebut makan dan minum di khalayak ramai pada Ramadan ini.

Menurutnya, lelaki tersebut sudah berkahwin dan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai di sekitar Kluang.

“Kedua-dua yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada seluruh umat Islam di daerah ini supaya tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan Ramadan yang mulia ini seperti menghisap rokok, makan dan minum di tempat awam,” katanya.

Mohd Khalil berkata, sepanjang Ramadan ini pihak penguat kuasa JAJ akan sentiasa menjalankan operasi di daerah ini bagi menangkap sesiapa sahaja yang tidak menghormati Ramadan.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: