08 November 2012

Air bertukar hitam, Sungai Kuala Temerloh semakin tercemar

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Air bertukar hitam, Sungai Kuala Temerloh semakin tercemar
Air dari anak Sungai Kuala Temerloh bertukar hitam sejak setahun lalu
Air bertukar hitam, Sungai Kuala Temerloh semakin tercemar
Anuar menunjukkan aliran air dari tali air yang bertukar menjadi hitam.
 
TEMERLOH – Lebih 200 penduduk di dua perkampungan Melayu, di sini, kecewa apabila anak sungai menjadi tumpuan mereka mencari ikan, kini tercemar dengan pelbagai sisa buangan yang berisiko menjadi punca masalah lain.

Penduduk Kampung Paya Jauh dan Kampung Tanjung Batu, di sini, juga bimbang ternakan serta tanaman menggunakan aliran air sungai itu akan mati jika tiada tindakan diambil pihak berwajib.

Penduduk Kampung Paya Jauh, Mohd Sabri Daud, 42, berkata, kini dia tidak berani untuk menangkap ikan di sungai itu yang semakin tercemar sejak beberapa tahun lalu.

“Dulu sungai ini menjadi tempat kami menangkap ikan, tetapi kebelakangan ini terutama sejak setahun lalu, ia begitu tercemar.

“Kami tidak sanggup lagi tangkap ikan dan makan dengan keadaan air bertukar hitam serta berbau. Kami juga tidak sanggup beri anak isteri makan,” katanya.

Tidak pasti punca pencemaran
Sementara itu, rakannya, Anuar Abd Mutalib, 34, berkata, dia sendiri tidak pasti punca pencemaran sungai itu kerana terlalu banyak tali air mengalir ke arah anak Sungai Kuala Temerloh.
Menurutnya, semua aliran air anak Sungai Kuala Temerloh akan mengalir keluar ke Sungai Pahang dekat Kampung Tanjung Batu sekali gus mendatangkan risiko kepada penternak ikan sangkar Sungai Pahang.
“Saya tak pasti pencemaran ini daripada mana. Terlalu banyak tali air menghubungkan kawasan ini. Tetapi ada beberapa petunjuk kukuh, ia datang daripada sebuah kilang berhampiran,” katanya.

Sementara itu, penduduk Tanjung Batu, Lias Jamaludin berkata, aliran air sungai itu mengalir keluar dari banyak kawasan termasuk melalui tanah miliknya yang ditanam dengan pokok getah.
“Kalau dulu saya boleh basuh muka, sekarang nak celup tangan pun tak sanggup. Dulu banyak ikan di lubuk-lubuk sungai ini, sekarang mana ada lagi,” katanya.

Ambil tindakan segera

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan pihaknya menerima aduan penduduk berkaitan pencemaran tersebut sejak Ogos lalu.
Ketua Cawangan JAS Temerloh, Helmi Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya menerima dua aduan pada Ogos dan September, tahun ini.

Menurutnya, hasil siasatan dan sampel air diambil pada September lalu, JAS mengesahkan ia berpunca dari sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

“Berdasarkan rekod, kami mendapati pencemaran berpunca daripada sisa buangan dari kilang tersebut. Kami juga mengadakan pertemuan dengan pihak kilang. JAS dimaklumkan pihak kilang bersetuju untuk menambah baik sistem pengolahan air di kilang mereka bagi mengelakkan pencemaran di sungai itu.
“JAS dimaklumkan pihak kilang mempunyai loji pengolahan air yang baik sebelum ini, tetapi masalah pencemaran berlaku pada masa-masa tertentu tidak dapat dielakkan,” katanya.

Helmi berkata, pihak kilang juga berjanji untuk membaik pulih loji itu untuk mengelak pencemaran.
“Pihak kilang membentangkan perancangan mereka untuk menambah baik operasi kilang dan dipersetujui di peringkat JAS Pahang.

"Bagaimanapun, aduan daripada penduduk kampung melalui Sinar Harian akan diambil kira. Kami juga akan melakukan siasatan segera,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: