23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
|
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi
pilihan raya presiden AS dengan menewaskan pencabarnya dari parti
Republikan, Mitt Romney kelmarin.
Obama, 51, yang merupakan penduduk kulit hitam pertama menjadi
presiden pada 2008 memenangi dengan mudah 303 undi pemilih berbanding
Romney, 65, yang memperoleh 206 undi.
Obama menang di 26 negeri tanpa mengambil kira pengiraan di Florida.
AS mempunyai 50 buah negeri.
Kemenangan Obama pada pilihan raya kali ini adalah di kebanyakan negeri yang pernah dimenanginya pada pilihan raya 2008.
Obama turut mencipta sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama yang memegang jawatan presiden AS bagi tempoh dua penggal.
Sementara itu di negeri Florida memperuntukkan 29 undi pemilih kepada pemenang undi popular.
Pengiraan undi di Florida masih belum diketahui setakat pukul 11 malam semalam waktu Malaysia.
Bagaimanapun, Obama dari parti Demokrat sudah dianggap memenangi
pilihan raya presiden kerana beliau hanya memerlukan 270 daripada 538
undi pemilih untuk memegang jawatan tersebut buat penggal kedua.
Pada pilihan raya 2008, Obama memenangi 365 undi pemilih berbanding
pencabarnya, Senator McCain dari parti Republikan dengan 173 undi.
Undi pemilih itu diberikan kepada calon presiden yang memenangi undi
popular terbanyak di sesebuah negeri kecuali di Maine dan Nebraska.
Negeri Maine menetapkan dua undi pemilih diberikan kepada pemenang
undi keseluruhan terbanyak manakala dua lagi diberikan kepada calon
presiden yang memperoleh undi paling banyak di dua daerah Kongres AS.
Bagaimanapun, di negeri tersebut, Obama menyapu bersih keempat-empat undi tersebut.
Pada tahun 2008, Obama mendapat empat undi pemilih di negeri itu.
Di negeri Nebraska, tiga undi pemilih diberikan kepada pemenang undi
terbanyak di tiga daerah Kongres AS manakala dua lagi diberikan kepada
calon presiden yang memenangi paling banyak undi popular.
Romney menyapu bersih kesemua undi pemilih di negeri itu.
Pada tahun 2008, Obama hanya memperoleh satu undi pemilih di negeri berkenaan.
Pada pilihan raya presiden menyaksikan, bilangan undi pemilih yang
diperoleh Romney lebih banyak daripada McCain yang menentang Obama pada
pilihan raya 2008.
Pada pilihan raya 2008, Obama menang di Carolina Utara dan Indiana.
Namun pada kali ini, Romney menang di kedua-dua negeri itu.
Menurut akhbar Wall Street Journal, Romney menang 60 peratus
undi penduduk kulit putih manakala Obama hanya memperoleh 38 peratus
kurang lima peratus pada pilihan raya 2008.
Romney merupakan bekas gabenor Massachusetts dan seorang jutawan bertanding buat kali pertama menentang Obama. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan