08 November 2012

BN tak akan menang, jangan janji lebuh raya

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Rakyat Kelantan sangat malang kerana tidak dapat menikmati kemudahan lebuh raya seperti negeri-negeri lain, kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mempersoal diskriminasi Kerajaan BN terhadap Kelantan hanya kerana rakyat Kelantan tidak menyokong parti itu.

"Dulu orang Kelantan marah dengan sikap diskriminasi Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan tapi sekarang sudah tak rasa marah, tapi kecil hati.

"Kelantan satu-satunya negeri yang tak ada lebuh raya walaupun satu meter. Apalah malangnya nasib rakyat Kelantan.

"Sampai bilakah penderaan dan diskriminasi kerajaan menganaktirikan rayat Kelantan? Rakyat Kelantan juga ingin merasai perjalanan pada musim perayaan sama dengan negeri-negeri lain," katanya.

Tegas beliau juga, BN tidak perlu berjanji untuk membina lebuh raya sekiranya mengambil alih negeri itu kerana rakyat tidak menyokong parti itu.

"Timbalan Menteri kata kerajaan memang berjanji akan membina lebuh raya sekiranya BN berjaya mengambil alih negeri Kelantan.

"Suka saya maklumkan bahawa BN tak payah mimpilah nak ambil Kelantan. Rakyat Kelantan tidak akan redha dengan perbuatan ini," tegasnya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Kerja Raya menyatakan usaha yang dibuat bagi mengelakkan kesesakan berterusan laluan  KL - KB terutamanya pada musim perayaan.

Timbalan Menteri, Datuk Yong Khoon Seng dalam jawapannya bagamanapun berkata, kesesakan lalu lintas merupakan perkara biasa pada musim perayaan, bukan sahaja jalan ke Kelantan.

harakah/-

Tiada ulasan: