08 November 2012

Kejayaan Obama galak rakyat terus berubah - Mahfuz

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Tema kempen Obama mengajak rakyat untuk terus berubah)

KUALA LUMPUR: Kalau Presiden Barack Obama menang dengan slogan 'Forward', rakyat negara ini juga jangan berpaling lagi untuk menamatkan kekuasaan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam tahun 2008, Obama menampilkan dirinya sebagai agen perubahan dengan membawa slogan 'Change'. Beliau menang bergaya.

"Hari ini beliau menang pilihan raya presiden Amerika dengan slogan 'Forward' pula. Maknanya beliau mengajak rakyat Amerika terus ke hadapan dengan agenda perubahan," kata beliau.

Mengambil iktibar dari sambutan rakyat Amerika terhadap agenda perubahan Obama itu, Mahfuz mengajak rakyat Malaysia bergerak dengan nada dan langkah yang sama.

Selepas menidakkan majoriti dua pertiga kepada BN dalam pilihan raya 2008 dahulu, katanya, rakyat Malaysia juga mesti bertindak bijak dan terus mara ke hadapan untuk memastikan agenda perubahan berterusan demi kepentingan mereka.

"Jangan kita pandang ke belakang lagi dan terus mara ke hadapan untuk memastikan kekuasaan Umno dan Barisan Nasional ditamatkan.

"Jangan kita pandang ke belakang lagi dan terus mara ke hadapan untuk membuang Umno BN dari tampuk pemerintahan di Putrajaya," kata Mahfuz.

Kalau perubahan pada 2008 berjaya membebaskan Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak dari cengkaman kekuasaan Umno BN, pilihanraya ke-13 rakyat mesti terus mara ke hadapan dan membebaskan seluruh negara dari cengkaman Umno BN.

"Untuk menyelamatkan negara tercinta dari cengkaman kuasa Umno BN, rakyat hanya ada satu pilihan sahaja, go forward atau terus bergerak ke hadapan dengan agenda perubahan yang disemarakkan dalam pilihan raya umum 2008 lalu," kata Mahfuz lagi.

Obama kekal sebagai Presiden Amerika untuk empat tahun lagi apabila menang dalam pertembungannya dengan Mitt Romney dari Republikan selepas kempen berjalan dengan sengit.

Dengan kemenangan tipis Obama di Ohio, Wisconsin, Iowa, Pennsylvania dan New Hampshire, media meramalkan, usaha Romney memintas Obama kembali sudah berakhir.


Sumber : harakahdaily/-

Tiada ulasan: