08 November 2012

Tidak tahan hidu bau busuk

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Tidak tahan hidu bau busuk
Gunasegaran (kanan) menunjukkan air kotor di loji kumbahan Kuarters Guru Batu 13 yang menghasilkan bau kurang menyenangkan.
 
LIPIS - Penduduk di sini meminta pihak bertanggungjawab menyelenggarakan loji kumbahan di Kuarters Guru Batu 13 kerana loji itu didapati tersumbat dan tidak berfungsi dengan baik.

Penduduk, R Gunasegaran, 54, berkata, masalah itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga penduduk tidak tahan lagi kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.

“Hampir setiap hari kami terpaksa menghidu bau busuk. Masalah itu turut menjejaskan keselesaan penduduk yang majoritinya kaum India.

“Air kumbahan di loji itu juga hitam dan menjadi tempat nyamuk membiak. Kami bimbang sekiranya masalah ini menghasilkan persekitaran tidak sihat hingga menjadi punca pelbagai penyakit,” katanya, di sini, semalam.

Gunasegaran berkata, masalah itu lebih kritikal pada musim hujan kerana air kotor dari loji kumbahan terbabit akan dilepaskan ke dalam longkang berhampiran jalan raya.

“Sekiranya hujan lebat, air kotor akan meleleh hingga ke permukaan jalan. Keadaan itu menyebabkan pengguna tidak selesa.

“Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan masalah longkang tersumbat yang mengakibatkan aliran air tidak lancar. Keadaan itu juga menyebabkan air naik setiap kali hujan lebat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak bertanggungjawab diharap dapat menyelesaikan masalah itu segera supaya penduduk dapat menjalani kehidupan seharian lebih selesa.

sinar/-

Tiada ulasan: