08 November 2012

Himpunan bantah Nurul Izzah, fitnah - Nasrudin

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta agar individu yang terlibat dengan fitnah berhubung himpunan membantah Nurul Izzah menginsafi dan memuhasabahkan diri.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya menafikan kenyataan mengenai himpunan itu dan mengecam individu yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan fitnah tersebut dengan menggunakan nama Dewan Pemuda PAS Pusat.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.


“Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan satu perhimpunan aman dan penyerahan memorandum membantah kenyatan YB Nurul Izzah berhubung isu menyamakan Islam dengan agama-agama lain dan tindakan beliau menyokong LGBT….”

Dewan Pemuda PAS Malaysia menerima beberapa panggilan dan pertanyaan dari pihak media berkenaan kenyataan di atas yang disebarkan melalui pesanan ringkas [SMS] kepada wartawan-wartawan.

Untuk pengetahuan semua, kenyataan di atas yang disebarkan melalui pesanan ringkas [SMS] adalah sama sekali tidak benar dari Dewan Pemuda PAS Malaysia. Sesiapa jua individu yang terlibat dalam menyebarkan fitnah ini adalah merupakan individu yang tidak bertanggungjawab.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya ianya merupakan satu usaha daripada pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh untuk menyerang YB Nurul Izzah bahkan cuba mengeruhkan hubungan parti kompenan di dalam Pakatan Rakyat.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, individu yang mencetuskan fitnah ini bahkan yang menyebarkan fitnah ini adalah individu yang tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai akhlak yang mulia. Membuat satu-satu kenyataan dengan menggunakan nama orang lain itu adalah satu penipuan manakala menyebarkan kenyataan tanpa bertanya kepada sumber itu pula adalah kesalahan dan kedua-duanya termasuk di dalam perkara mungkar yang dimurkai Allah.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta agar individu yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini untuk beliau menginsafi dan memuhasabahkan diri. Tanyalah kepada diri, apakah keuntungan yang diperolehi sekiranya kamu berjaya menimbulkan persengketaan?

Sekali lagi, Dewan Pemuda PAS Malaysia menafikan kenyataan tersebut dan mengecam individu yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan fitnah tersebut dengan menggunakan nama Dewan Pemuda PAS Pusat.

harakah/-

Tiada ulasan: