09 November 2012

Nurul Izzah hadir buat aduan di Jais

24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
 
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kini berada di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini bagi membuat aduan berhubung kes di mana beliau didakwa mengatakan kebebasan beragama di negara ini turut terpakai ke atas orang Melayu.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai hadir bersama-sama seorang peguam wanita dan pembantu peribadi beliau.
 
Beliau tiba kira-kira jam 11 pagi.
 
Anak sulung ketua pembangkang itu sebelum ini sudah mengarahkan peguam beliau Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah untuk mengambil tindakan saman ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian dan blog-blog yang didakwa tersalah lapor kenyataannya.
 
"Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya - Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah - untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari," katanya dalam kenyataan kelmarin.
 
Nurul Izzah pada Sabtu lalu, ketika menjadi panel sebuah forum anjuran pergerakan Kristian berkata:
 
“Tidak harus ada paksaan di dalam agama.  Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf... ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum)."
 
Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin sebelum ini dipetik sebagai berkata, Nurul Izzah mungkin akan dipanggil jika sekiranya ucapannya itu bertentangan dan melanggari keputusan Majlis Fatwa Negeri.

Dalam pada itu, pembantu peribadi Nurul Izzah, Fahmi Fadzil berkata, tujuan wakil rakyat penggal pertama ini hadir di Jais hari ini untuk bertemu dengan Marzuki dan menceritakan keadaan sebenar.

"Beliau mahu berjumpa dan menceritakan supaya Datuk faham apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di pekarangan Jais.

Difahamkan Nurul Izzah turut membawa keratan akhbar dan kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini.
 
sinar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Agama ialah agama jangan dipolitikan