09 November 2012

Peniaga degil berdepan denda

24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Mohd. Talal Abu Bakar
Mohd Talal (kanan) bersama Pembantu Pengurus Operasi, Pasaraya TF, Nyew Kian Yoon dan Yusof memeriksa harga barang di bawah skim kawalan harga.
 
PORT DICKSON – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan memberi ama-ran kepada peniaga supaya mempamerkan tanda harga merah jambu pada 14 jenis barangan kawalan.

Jika gagal berbuat demikian peniaga akan berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd. Talal Abu Bakar berkata, bagi peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga merah jambu denda RM100,000 akan dikenakan atau mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan ini terpaksa dilakukan bagi membendung peniaga menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan pada musim perayaan, " katanya.

Menurutnya,  kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu ini dilihat kerap berlaku sama ada peniaga di pasar harian, kedai runcit mahupun pasar raya. Malah, ia bukan hanya berlaku pada musim skim kawalan harga tetapi turut berlaku pada hari biasa sepanjang tahun.

“Perbuatan mereka ini sebenarnya boleh mendatangkan masalah dan kekeliruan kepada pengguna dan ia dikhuatiri akan berlarutan kepada isu penipuan dan sebagainya yang melanggar hak pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa Operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Deepavali 2012 di Pasar Raya TF, semalam.

Hadir sama dalam operasi berkenaan, Pegawai PPDNKK daerah, Yusof Bakar.
Menurut Mohd Talal, selain pemantauan daripada seramai 86 pengaut kuasa PPDNKK negeri, Skuad Pengguna Negeri dan Daerah juga digerakkan dalam melaksanakan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan kali ini.

“Mereka ini akan membantu PPDNKK dalam memantau harga barang. Sebarang maklumat akan disalurkan terus kepada PPDNKK dan akan disusuli dengan tindakan sewajarnya.

"Pada hari pertama pemantauan perlaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan  ini semua peniaga mematuhi skim berkenaan dan peraturannya. Malah, ada beberapa jenis barang yang dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Talal berkata, Januari sehingga September lalu, PPDNKK negeri melakukan pemeriksaan ke atas 46,036 premis perniagaan dan dari jumlah itu, 401 melakukan pelbagai kesalahan.

“Kesemua mereka diberikan nasihat dan amaran dan ada yang dikenakan kompaun membabitkan jumlah keseluruhannya sebanyak RM184,380 serta nilai rampasan sebanyak RM2,076,588.40,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: